Thursday, 24 October 2019

Ayah Su Ajar Mengaji Melalui Telefon

SHARE
Ayah Su (kiri) menemani peserta menerima sijil dari Ustaz Muda (kanan)


Oleh : Fadhilah Mohd

KUALA NERUS, 24 Oktober - Seorang guru al-Quran Harun Ismail, 64 berkeupayaan mengajar al-Quran menggunakan talian telefon sehingga tiga orang dari muridnya berjaya khatam melalui cara tersebut.

Ini menggambarkan kegigihan Harun yang lebih mesra dipanggil Ayah Su menabur bakti mendidik anak Terengganu membaca Al-Quran.

Walaupun mempunyai ratusan murid,  Ayah Su tidak  mendabik dada mengiktiraf diri mahir membaca al-Quran dan  atas rasa rendah diri, beliau terus belajar.

Beliau juga berpendapat al-Quran  mesti  sentiasa dibaca dan dipelajari.

"Tidak semestinya bila kita bergelar guru,  putus peluang kita  untuk  belajar. Sebenarnya tidak,  bila kita menjadi guru kita perlu banyak  belajar," jelasnya.

Peserta bergambar beramai-ramai selepas selesai Majlis Khatam Al-Quran.
Ayah Su berkata demikian ketika ditemui di Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Serbaguna  Pengkalan Titian, Seberang Takir di sini baru-baru ini.

Seramai 30 orang peserta telah menyertai majlis tersebut dimana 14 orang  telah  berjaya khatam 30 juzuk manakala  selebihnya  juz Amma.

Majlis dirasmikan oleh Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri ( DUN), Ustaz Muda Abdullah dan  turut dihadiri Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Seberang Takir,  Halim Che  Ibrahim.

Anak kelahiran Batu Burok itu telah 34 tahun mencurahkan ilmu, mengajar Al-Quran di rumahnya di Kampung Duyung dan juga di sekitar Kuala Nerus antaranya di Masjid Kampung  Batin,  Surau Ustaz Yong,  Surau Abu Bakar dn Surau Al Falah.

Beliau amat terhutang budi dan sangat menghargai jasa guru-guru yang pernah membimbing dan mengajar ilmu Al-Quran kepadanya, ada di antara mereka yang telah meninggal  dunia seperti Che Nik  Abd  Latif,  Ustaz Haji Yong  Mahmud,  Ustaz Embak dan Ustaz Musa.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: