Wednesday, 23 October 2019

Aktiviti Judi Di Jalan Petani Dibongkar

SHARE


OKT (berbaju merah) ditahan untuk diambil keterangan.
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Sebuah kedai makan milik seorang Islam dijadikan 'port' perjudian nombor ekor di sini diserbu oleh penguatkuasa syariah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sekali gus  berjaya menangkap lima orang disyaki terlibat dengan kegiatan judi itu di Jalan Petani di sini hari ini.

Antara yang ditangkap ialah  seorang pemudah cara aktiviti itu yang bukan Islam dan pihak penguatkuasa syariah sukarela membawanya ke premis judi tidak jauh dari kedai makan itu  untuk mendapatkan barangan bukti termasuk mesin judi berkenaan.

Bagaimana pun pihak penguatkuasa gagal mendapatkannya kerana premis itu dikunci dari dalam dan ditutup rapat seolah-olah tiada  berpenghuni.

Kehadiran penguatkuasa itu dapat dihidu kerana premis berkenaan dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai untuk tujuan keselamatan pemilik premis perjudian tersebut.

Pemudah cara (tiga dari kiri) ditahan dan diminta ditunjukkan premis perjudian.
Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, orang kena tangkap (OKT) akan didakwa di Mahkamah Syariah Rendah Kuala Terengganu pada 22 Januari tahun depan di atas kesalahan Seksyen 22 (1) (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan Seksyen 55 enakmen yang sama.

Menurutnya, pemilik kedai tersebut juga didakwa bersyubahat dengan tiga orang lain kerana membenarkan kegiatan tersebut dilakukan di premis kedai berkenaan.

Katanya, jika sabit kesalahan kesemua mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bahan bukti perjudian diperolehi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai operasi itu dijalankan di sini hari ini.

Sementara itu, empat OKT dibebaskan dengan jaminan RM3,000 masing-masing dengan seorang penjamin selepas diambil keterangan mereka di Pejabat Agama Kuala Terengganu.

Katanya, operasi bersepadu itu dianggotai oleh 44 anggota termasuk pegawai penguatkuasa syariah sukarela dari kedua-dua daerah berkenaan.

Azmi (tiga dari kanan) membuat kenyataan akhbar di Jalan Petani Kuala Terengganu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya menghindarkan diri dari melakukan kesalahan jenayah syariah seperti berjudi, berkhalwat dan sebagainya kerana mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan.

"Kita mahu melihat Terengganu bersih dari perbuatan jenayah syariah dan Terengganu bukan negeri untuk seseorang itu melakukan kesalahan tersebut kerana kerajaan sentiasa memantau kegiatan mereka dan akan mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan yang dilakukan," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: