Tuesday, 15 October 2019

'Air Putih Fiber Boat Challenge 2019' Tarik 1,000 Pengunjung

SHARE

Oleh: Aminji

KEMAMAN, 15 Oktober - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dengan kerjasama Pemuda PAS DUN Air Putih, Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Pasir Minal dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Lot Srijaya buat julung kalinya telah berjaya menganjurkan perlumbaan bot fiber yang diadakan di Jeti Kampung Pasir Minal.

Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu ini adalah untuk memperkenalkan acara lumba bot fiber sebagai salah satu sukan air tahunan. Di samping itu, acara ini juga diwujudkan untuk menarik minat pelancong ke negeri ini.

ADUN Air Putih, Cikgu Ab. Razak Ibrahim telah merasmikan acara sukan air yang disertai lebih 85 peserta yang mewakili 35 buah bot. Perlumbaan dibahagikan kepada empat kategori iaitu kayuhan fiber 12 kaki, kayuhan fiber 14 kaki, lumba bot 12 kaki (enjin) dan lumba bot 14 kaki (enjin).


Acara yang dimulakan dengan Persembahan Menyelamat oleh Pasukan Bomba Dan Penyelamat ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila lebih 1,000 pengunjung hadir untuk menyaksikan perlumbaan.

"Jutaan terima kasih dan tahniah kepada seluruh jentera pelaksana serta pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang telah menjayakan program 'Air Putih Fiber Boat Challenge' ini," ujar nya.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abdul Hamid yang turut hadir memeriahkan program ini.

Majlis diakhiri dengan acara penyampaian hadiah untuk para pemenang, cabutan bertuah dan jamuan rakyat untuk semua peserta dan pengunjung yang hadir.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: