Wednesday, 23 October 2019

Adnan Harap Banjir Tidak Termenung Lagi

SHARE
Adnan (tengah) mendengar penjelasan penduduk kampung bersama Pengarah APM Terengganu, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman (kiri) dan pegawai APM Marang, St. Zabri (kanan), ketika tinjauan musim banjir, tahun lalu.
MARANG, 23 Oktober - Penghulu Mukim Merchang, Adnan Ibrahim, 52, berharap situasi banjir ‘termenung’ yang melanda Kampung Padang Garam, Pasir Puteh, Merchang, tahun lalu tidak akan berlaku lagi.

Menurutnya, ini berikutan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah membersihkan laluan air di sepanjang lebih kurang dua kilometer di kampung berkenaan.

“Bagi menghadapi musim tengkujuh yang akan tiba, tindakan membersihkan sebahagian laluan air yang dipenuhi sekatan seperti batang kayu dan sebagainya sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan risiko musim banjir di kawasan ini.

“Mungkin banjir tetap berlaku, tetapi ia tidak akan memakan masa lama untuk surut kerana air boleh mengalir kembali ke sungai berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
 
Lt Kol (PA) Che Adam menunjukkan keadaan Kampung Padang Garam yang masih digenangi air, dalam tinjauan musim banjir tahun lalu.
Jelasnya, pembersihan tersebut memakan kos yang agak tinggi menyebabkan ia terpaksa dilakukan secara berperingkat.

“Ada laluan yang luas dan ada yang sempit. Buat masa ini, kita cuma membersihkan sekatan untuk air mengalir kerana kalau hendak disiapkan semua sekali gus kosnya agak mahal,” tambahnya.

Tahun lalu, Kampung Padang Garam yang berkeluasan kira-kira 10 ekar dinaiki air setinggi 0.3 meter yang memakan tempoh sehingga tiga minggu untuk surut.

Ini kerana berlaku mendapan air tepu serta ketiadaan laluan air keluar menyebabkan kawasan itu terus digenangi air sementara banjir di seluruh negeri telah surut.

Akibatnya, penduduk kampung tersebut yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh ketika itu, menjadi penghuni terakhir yang dibenarkan pulang ke kediaman mereka walaupun seluruh pusat pemindahan lain di Terengganu telah ditutup.
  

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: