Thursday, 10 October 2019

Abul Qasim, Nor Auni Tokoh Pelajar Mithali INSPI

SHARE


KUALA TERENGGANU, 10 Oktober- Abul Qasim Puteh dan Nor Auni Che Mohd Rosli dianugerahkan sebagai Tokoh Pelajar Mithali 2019 sempena Majlis ‘Idul ‘Ilmi Institut Pengajian Islam (INSPI) Yayasan Islam Terengganu (YIT) di Dewan Utama YIT, hari ini.

Kedua-duanya mendapat keputusan cemerlang di dalam program Diploma Tahfiz Al- Quran Dan Al-Qiraat dengan pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik).

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat.

Majlis berkenaan menyaksikan seramai 70 penerima untuk tiga kategori iaitu Program Diploma Tahfiz Al-Quran Dan Al-Qiraat, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Itmamuddirasah.


Abul Qasim,24, ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman berkata, fokus merupakan keutamaan dalam proses menghafaz al-Quran dan dia bersyukur kepada Allah S.W.T diatas anugerah yang diterimanya itu.

“Kita perlu fokus dan tekun dalam hafazan, disamping perlu ada hubungan baik dengan semua khususnya ibu-bapa, guru dan juga sahabat malah hubungan dengan Allah juga perlu dijaga.

“Terima kasih kepada ibu bapa, keluarga yang banyak membantu dan guru-guru yang mendidik saya selama ini sehingga membolehkan saya berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sepanjang tiga tahun pengajian di INSPI,” ujarnya yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin.

Ketika di INSPI, anak bongsu dari enam beradik yang bercita-cita menjadi pensyarah itu juga banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dan aktif berpersatuan termasuk dilantik sebagai Presiden Majlis perwakilan Pelajar Sesi 2017/2018 dan merupakan Pengarah Program Kembara Bakti Huffaz ISNPI (2018).


Sementara itu, Nor Auni,21, yang kini sedang mengikuti pengajian Komunikasi dan Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpendapat, istiqamah merupakan amalan terpenting sebagai seorang pelajar.

“Termasuklah dalam membaca al-Quran yang pelru dijadikan sebgai rutin. Saya juga sentiasa mengutamakan apa yang lebih utama iaitu belajar,” ujarnya yang merupakan pelajar aktif dalam akademik dan kokurikulum ketika belajar di ISNPI.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: