Sunday, 6 October 2019

Abu Juara 'King Of Sado'

SHARE


Amirul Firdaus (kanan) menerima hadiah kejuaraan "King of Sado' Himpunan Lembu Sado dari Dr Azman.





BESUT, 6 Oktober - Lembu baka '' Charolais', seberat 838 kilogram (kg) bernama Abu yang berusia tiga tahun, diisytiharkan sebagai Juara Kategori 'King Of Sado' di Himpunan Lembu Sado Peringkat Pantai Timur 2019 di Dataran Pekan Jabi di sini semalam.

Pemiliknya, Amirul Firdaus Safwarizan dari Kampung Gong Terap di sini menerima hadiah berupa seekor lembu, wang tunai RM500 dan piala pusingan.

Naib Juara pula digondol oleh Mohd Marzuki Yusof dari Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus dengan baka yang sama berusia tiga tahun diberi nama Mat Leh (846 kg) dan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan pingat kemenangan.

Manakala tempat ketiga jatuh kepada Mohd Hafizi Mohd Yusof dari Kampung Dalam Kemunting Pasir Putih Kelantan juga dengan lembu baka ' Charolais' miliknya berusia tiga tahun yang diberi nama 'Boy' dan membawa pulang wang tunai RM1,000 serta pingat.
 
Sementara itu, lembu cilik berusia 39 hari yang diberi nama 'Limousine Kemal' menerima hadiah istimewa 'Best of The Best' di himpunan tersebut.

Lembu dari baka 'Limousine' yang menjadi tarikan pengunjung itu dimiliki oleh Mohd Nuruddin Abdullah dari Kampung Kemal Kelantan menerima tawaran bernilai Rm30,000 termasuk ibunya namun pemiliknya belum bersedia untuk menjualnya.
  




Abu (tengah) bersama pemiliknya Amirul Firdaus (dua dari kiri) bersama hadiah kejuaraan.

Mohd Nuruddin turut membawa pulang hadiah seekor lembu, wang tunai RM500 dan pingat kemenangan.


Hadiah kejuaraan berkenaan  disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Ketika ditemui pemberita di majlis yang sama, Dr Azman menjelaskan bahawa acara kemuncak penyampaian hadiah King of Sado semalam menerima seramai 16 peserta yang mempertandingkan 16 ekor lembu untuk kategori 'King of Sado' 

Katanya, dari jumlah itu dipilih hanya lima terbaik untuk diberi hadiah dalam pertandingan tersebut.

Menurut beliau himpunan lembu sado itu julung-julung kali diadakan dan bakal menjadi acara tahunan sekali gus  Dataran Pekan Jabi itu kekal sebagai tapak himpunan tersebut.


Satu pemandangan di Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2019 di Dataran Pekan Jabi, Besut.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata untuk kejohanan tersebut kerajaan membelanjakan hampir RM50,000, satu jumlah perbelanjaan yang agak murah bagi penganjuran membabitkan tiga buah negeri termasuk Terengganu, Kelantan dan Pahang yang bermula 3 Oktober lalu dan berakhir semalam.

Katanya, beberapa kategori dipertandingkan termasuk 'King Of Sado', 'Queen Of Sado', 'Prince Of Sado', 'Princess of Sado', "Best of The Best' dan kategori tertutup DUN Jabi bagi meraikan peserta tuan rumah.

Menurut beliau, himpunan itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Pasukan Keselamatan dan Jabatan Amal Negeri Terengganu.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: