Tuesday, 29 October 2019

84 Usahawan Terima Hampir RM1 Juta Dari TUGAS

SHARE

 
Sebahagian dari 84 Usahawan Terengganu menerima pembiayaan pinjaman tanpa faedah dari Mohd Nurkhuzaini (tengah) di Dewan Konvensyen YPU hari ini.
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Kerajaan Negeri telah meluluskan pembiayaan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM942,442.60 kepada 84 usahawan di bawah Tabung Usahawan  Sejahtera (TUGAS).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia , Industri Micro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dari jumlah itu sebanyak  RM525,000 diperuntukkan kepada 36 penerima di bawah Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T).

Menurutnya, seramai 19 penerima turut dibiayai di bawah Skim Pembiayaan Tabung Siti Khadijah berjumlah RM245,000.
 
Mohd Nurkhuzaini  Ab Rahman (tengah).
Katanya, seramai 15 penerima lain memperoleh pembiayaan Dana Usahawan dan Industri Mikro Terengganu (DUIT)berjumlah RM57,241.

Sementara itu menurutnya, seramai 10 penerima dari Orang Kurang Upaya (OKU) dibiayai di bawah Dana Prihatin Terengganu (D-Hati).

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di Majlis Penyampaian Mock Up Cek TUGAS Kali Ke 3 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan di sini hari ini.
 
Seorang usahawan wanita menerima Mock Up Cek dari Mohd Nurkhuzaini (dua dari kiri).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, seorang usahawan lelaki menerima Skim Pembiayaan Mobile Truck (SPMT) sebanyak RM40,000.

Sementara dua usahawan lain mendapat pembiayaan Skim Pembiayaan TUGAS (PERANTAU) bernilai RM25,000.

“Yang terakhir seorang usahawan wanita menerima Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT) sebanyak RM10,000,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM26,576,467.65 untuk membiayai perniagaan bagi 2,410 usahawan Terengganu sejak bulan Januari 2002 hingga hari ini.

Menjawab satu soalan pemberita Mohd Nurkhuzaini berkata, setakat ini pembayaran balik pinjaman itu berjalan dengan lancar dan ia tidak menjadi masalah besar kepada kerajaan.

Bagaimanapun ketika berucap di majlis itu beliau menyeru para usahawan supaya membuat pembayaran balik secara berjadual bagi memberi peluang usahawan lain memanfaatkan skim pembiayaan pinjaman tanpa faedah itu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: