Thursday, 3 October 2019

8 Ekor Gajah Berjaya Dipindahkan PERHILITAN Di Terengganu

SHARE
Pegawai PERHILITAN memeriksa gajah yang telah dinaikkan ke lori.


SETIU, 3 Oktober- Bermula Januari 2019 sehingga hari ini, sebanyak lapan ekor gajah yang ‘berkonflik’ dengan penduduk di negeri Terengganu telah berjaya dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, daerah Setiu menjadi daerah tertinggi tangkapan dan pemindahan gajah liar di negeri itu.

“Gajah yang berjaya ditangkap biasanya akan dilepaskan kembali ke habitat asal yang lebih selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi memindahkan seekor gajah liar di Kampung Ulu Kekabu, di sini hari ini.
Dr. Abdul Malek ditemani pegawai PERHILITAN Setiu, Shukri (kanan).

Turut hadir ialah Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A. Rahman.

Mengenai  operasi tersebut, Abdul Malek memaklumkan operasi bermula  sekitar  jam 9.00 pagi untuk memindahkan gajah berusia 14 tahun itu menggunakan gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang yang tiba Selasa lalu.
Abot dan Rambai, gajah denak yang membantu memujuk gajah untuk dipindahkan.

Difahamkan, dua gajah denak, Abot dan Rambai yang digunakan PERHILITAN telah berkhidmat lebih 50 kali sejak dilatih pada tahun 2011 di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kira-kira 20 kakitangan PERHILITAN terlibat memindahkan mamalia berkenaan yang ditangkap pada 30 September, baru-baru ini.
Seorang pegawai mengukur tapak kaki gajah untuk menganggarkan umurnya.

Haiwan tersebut seterusnya dihantar ke habitatnya di Taman Negara Terengganu yang bersempadan dengan Kelantan, supaya lebih selamat.

Dalam pada itu, Pembantu Hidupan Liar Rendah PKGK, Zamrie Zoo, 44, menyatakan operasi kali ini mengambil masa paling singkat untuk dipujuk oleh Abot dan Rambai bagi dipindahkan.
Kaedah yang digunakan untuk 'memandu' gajah liar ke dalam lori.

“Setakat ini, operasi memujuk gajah liar yang paling lama mengambil tempoh empat jam untuk dijinakkan, tetapi bagi gajah ini kita berjaya memujuknya dalam masa kurang sejam,” katanya.

Pegawai-pegawai PERHILITAN bergambar bersama gajah yang berjaya dinaikkan ke lori sebelum dipindahkan.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: