Thursday, 3 October 2019

647 Kes Tangkapan Bot Nelayan Asing Sehingga Kini

SHARE

Salahuddin (tengah) membuat kenyataan media di atas bot.
KUALA NERUS, 3 Oktober – Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed ke Vietnam baru-baru ini didakwa tidak berjaya menghalang pencerobohan bot nelayan negara itu secara berterusan ke perairan Malaysia.

Ini kerana terdapat 647 kes tangkapan bot asing terutama dari negara Vietnam berjaya dibuat sejak tahun 2015 hingga kini.

Bagaimanapun Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) amat prihatin berkaitan isu pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara yang mengakibatkan ketirisan hasil laut dianggarkan bernilai RM6 bilion setahun dan memberi kesan kepada ekonomi rakyat Malaysia.

Menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, MOA melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited melaksanakan operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membanteras pencerobohan bot asing terutamanya di perairan Pantai Timur Malaysia.
Salahuddin (tengah) mendengar taklimat dari anggota APMM.
Katanya, satu Jawatankuasa Antara Kementerian (Interministerial Committee) melibatkan MOA, Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) telah melaksanakan OPS NAGA bermula 24 April lalu bagi mengekang aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan tempatan.

Menurutnya dalam tempoh lima bulan, OPS NAGA ini berjaya menahan sebanyak 128 vesel termasuk warga asing yang telah dihadapkan ke mahkamah.

“Untuk makluman juga sebanyak 647 kes tangkapan bot asing telah dilaksanakan oleh penguatkuasa DOF, PPM  dan APMM pada tahun 2015 hingga kini,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Turut mengiringi beliau ke tempat pelupusan bot, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Di samping itu katanya, PPM bersama DOF telah menjalankan OPERASI GELORA KHAS yang bermula Jun lalu.

“Operasi itu dijalankan kira-kira 100 batu nautika dari Pulau Tioman, Pahang sehingga ke Pulau Tenggol, Dungun.

“Hail operasi bersepadu ini berjaya merampas 14 bot nelayan asing dengan nilaian rampasan kira-kira RM12 juta yang dipercayai (nelayan asing) telah menceroboh perairan negara serta mencuri hasil laut untuk dibawa balik ke negara asal mereka,” tambahnya.
Vesel Nelayan Waga Asing ditengggelamkan.
Sementara itu, Dato’ Salahuddin melancarkan operasi pelupusan enam bot asing (sebuah tenggelam dalam perjalanan) di perairan lima batu nautika dari pesisir pantai.

“Program pada hari ini menyaksikan proses pelupusan enam buah bot rampasan asing yang telah dilucuthak di bawah Akta Perikanan 1985 melalui kerjasama DOF dan APMM yang mana dua bot hasil tangkapan DOF manakala empat bot lagi oleh APMM,” jelasnya.

Katanya, Kerajaan Malaysia mengharapkan pelupusan bot-bot rampasan ini akan memberi amaran dan pengajaran kepada mana-mana bot asing yang cuba menceroboh perairan Malaysia.

“Di samping itu pelupusan bot dengan kaedah penenggelaman memberikan manfaat kepada para nelayan kerana ianya akan menjadi habitat perikanan yang baru sekali gus dapat menjana ekonomi para nelayan.
Vesel nelayan asing hampir tenggelam sepenuhnya.
“Bot ditenggelamkan di kawasan lingkungan lima batu nautika daripada pesisir pantai juga bertujuan mengelakkan berlakunya pencerobohan pukat tunda,” jelas beliau.

Dato’ Salahuddin berkata, Rang Undang-undang (RUU) Perikanan (Pindaan 2019) telah mendapat kelulusan Parlimen bagi meningkatkan kadar denda dan mengekang pencerobohan nelayan asing ke dalam perairan negara.

“Ianya melibatkan denda maksimum bagi nahkoda bot asing yang menceroboh perairan Malaysia dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.
Bot nelayan asing (kiri) dalam proses ditenggelamkan.
“Kerajaan Malaysia begitu komited dalam memerangi isu “Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) Fishing”. Kerjasama serantau untuk membenteras penangkapan ikan secara haram (RPOA-IUU) juga diperkukuhkan melalui ‘platform’ bilateral dengan negara-negara ASEAN terutamanya,” tambahnya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: