Sunday, 13 October 2019

600 Meriahkan Nuri Ride 2019

SHARE

Oleh: Wan Luqmanul Hakim

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Lebih 600 orang memeriahkan program kayuhan basikal dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat di kalangan generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menzahirkan kegembiraan dengan penganjuran aktiviti berkenaan.

"Tahniah kepada peserta yang melibatkan diri dan semoga program ini memberi kesan positif kepada gaya hidup rakyat Terengganu," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Batu Buruk, semalam.



Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani memaklumkan, program kayuhan basikal sejauh 20 kilometer itu berjaya menarik minat 300 kanak-kanak yang terdiri daripada ahli Kelab Nuri Bank Rakyat serta individu.

Menurutnya, selain mempromosi Kelab Nuri Bank Rakyat, program itu juga bertujuan untuk memupuk semangat dan gaya hidup aktif dalam kalangan peserta, selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goal (SDG) yang ketiga iaitu Kesejahteraan dan Kesihatan yang Baik.

"Saya percaya aktiviti sebegini boleh dikembangkan lagi di pelbagai peringkat bagi menggalakkann lebih ramai peminat sukan berbasikal di negara ini.

"Kami berharap dapat meneruskan program sebegini pada masa hadapan," katanya.

Tambahnya lagi, program kali ini jauh berbeza kerana ia menyasarkan golongan kanak-kanak dan generasi muda bagi menyertai aktiviti berbasikal yang lebih didominasi golongan dewasa.



Dalam program anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama pasukan berbasikal profesional negara, Terengganu Cycing Team (TSG) itu, turut diadakan aktiviti membersihkan sekitar kawasan
Pantai Batu Buruk membabitan seramai 71 orang warga kerja bank tersebut.

Di samping itu, Bank Rakyat juga meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR)

Nuri Nutrisi di Terengganu dengan menyalurkan sumbangan makanan bernutrisi kepada murid-murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, Marang dan
Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Tok Adis, Kuala Terengganu.

Seramai 60 orang murid yang kurang berkemampuan diberi bantuan makanan di sekolah selama tiga bulan.

Program Nuri Nutrisi Terengganu ini merupakan kesinambungan daripada sumbangan Nuri Nutrisi di 10 buah negeri termasuk Perlis, Langkawi, Johor, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan yang mana lebih 1,000 orang pelajar kurang berkemampuan telah menerima manfaat daripada Kad Nuri Nutrisi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: