Tuesday, 1 October 2019

49 Pelatih AKT Tamat Pengajian

SHARE

MARANG, 1 Oktober - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Giatmara Malaysia (GIATMARA) kelmarin menganjurkan Majlis Graduasi Akademi Kulinari Terengganu (AKT) Kali Ke-6 bertempat di Dewan Serbaguna Perkaya Excellence Centre, Marang Terengganu.

Seramai 49 orang pelatih bagi sesi 10, 11 dan 12 yang terdiri daripada anak-anak asnaf dari seluruh negeri Terengganu menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 di dalam bidang kemahiran Confectionary & Bakery di dalam majlis yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Dato’ Haji Osman Muda,

Bersempena Majlis Graduasi ini juga turut diadakan Kursus Keusahawanan bagi pendedahan kepada graduan mengenai cara-cara meraih pendapatan melalui pelbagai kaedah serta mempelajari kaedah-kaedah pemasaran dalam perniagaan. Turut diadakan gerai jualan oleh usahawan AKT bagi memberi pendedahan kepada mereka terhadap perniagaan.


AKT telah dibangunkan oleh YWM melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2011 di atas tanah milik MAIDAM seluas lebih kurang 5 ekar di Pulau Kerengga Marang Terengganu. Setelah siap, YWM bersama pihak MAIDAM telah bekerjasama dengan pihak GIATMARA yang menyediakan tenaga pengajar, silibus latihan, persijilan dan juga elaun latihan bulanan kepada pelatih berasaskan strategi National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang diperkenalkan oleh Kerajaan.

Pembangunan AKT ini juga merupakan program bersepadu yang melibatkan instrumen wakaf dan zakat. Kedua-dua instrumen ini disepadukan untuk mencapai objektif pembangunan bagi mewujudkan pusat latihan kemahiran di atas tanah wakaf bagi melahirkan modal insan menjadi usahawan dan tenaga kerja yang berkemahiran daripada kalangan anak-anak asnaf melalui pembiayaan dana zakat. Program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi keluarga seterusnya membantu pembangunan ekonomi negara sebagimana dasar Kerajaan ke arah negara berpendapatan tinggi tercapai.


AKT pada ketika ini hanya boleh menampung seramai 40 orang pelatih pada satu-satu masa. Ianya dilengkapi dengan kemudahan bengkel latihan, pejabat, bilik warden, asrama, surau dan juga kios jualan. Sebanyak 18 modul dalam bidang Confectionary & Bakery yang melibatkan 20% teori dan 80% praktikal akan diajar dengan tempoh latihan selama 6 bulan. Bermula daripada tahun 2012 sehingga kini, seramai hampir 356 anak-anak asnaf daripada negeri Terengganu telah berjaya menamatkan latihan di sini termasuklah yang akan bergraduasi pada hari ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: