Thursday, 10 October 2019

400 Anggota APM Terengganu Siap Sedia Hadapi Monsun Timur Laut

SHARE
Gambar Ehsan Google


KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu telah mengarahkan 400 pegawai dan anggotanya mempersiapkan diri untuk menghadapi bencana banjir ekoran Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang bakal melanda pantai Timur termasuk Terengganu yang  dijangkakan pada pertengahan November sehingga Mac 2020 akan datang
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman  berkata kesemua anggota tersebut bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu polis, tentera, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memastikan mangsa banjir mendapat bantuan terbaik daripada pihak kerajaan.
Untuk menghadapi ketibaan Monsun Timur Laut, kita telah bersedia lebih kurang 400 orang pegawai dan anggota yang mana jumlahnya adalah lebih kurang  sama seperti tahun lalu.

“Bagi pembekuan cuti pegawai-pegawai tetap juga, kita akan aplikasikan ataupun akan kuatkuasakan bermula pada bulan November, Disember dan juga Januari , kita akan membekukan cuti untuk pegawai tetap berkenaan,” katanya ketika dihubungi Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI).

Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman 


Tambah beliau, APM selaku sekretariat pengurusan bencana peringkat negeri dan  daerah telah memasuki tahun yang kelima  dalam koordinasi pengurusan bencana  diperingkat negeri dan daerah sudah mengadakan mesyuarat bersama agensi lain bagi menyelaraskan operasi ketika banjir.

“Bagi latihan simulasi, kita telah bersama-sama agensi-agensi keselamatan lain telah menjalankan beberapa siri kesiapsiagaan secara interagensi di kelapan- lapan daerah di seluruh negeri Terengganu bermula dari bulan September dan sehinggalah yang terakhir baru-baru ini, kita telah buat di peringkat negeri di Kampung Dusun di Hulu Terengganu.

Setakat ini, Alhamdulillah keadaan koordinasi kita berjalan dengan baik yang mana bantuan yang sangat jitu daripada pihak pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) jadi segala proses pengurusan bencana berjalan dengan baik, di samping kerjasama yang sangat bagus daripada semua agensi ataupun pasukan-pasukan jabatan-jabatan yang terlibat dalam pengurusan bencana di negeri Terengganu kita ini,” ujarnya lagi.

Menurut Che Adam, mereka juga kini siap siaga  sedia dengan kekuatan logistik bagi menghadapi musim tengkujuh terutama penambahbaikan aset  air  melalui peningkatan keupayaannya  dari segi  aspek penambahan bilangan bot gentian kaca atau bot fiber untuk operasi menyelamat.
“Sebelum ini kita hanya ada 20 di peringkat negeri Terengganu dan terdapat penambahan pada pertengahan tahun ini iaitu sebanyak 30 buah bot gentian kaca lagi yang khas utk digunakan untuk proses pemindahan mangsa banjir sebab bot getian kaca ini tidaklah terlalu besar menggunakan sebuah enjin sahaja iaitu enjin sangkut.
“Penambahan bot gentian kaca itu akan melengkapkan lagi kemudahan logistik yang diperlukan di setiap APM daerah dalam menghulurkan bantuan ketika bencana terutama pada musim banjir,” katanya.

Beliau juga berkata, beberapa taklimat telah diadakan kepada semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)yang baharu juga telah dan sedang dijalankan mengikut DUN masing-masing.


“Boleh dikatakan 70 peratus telah diberi taklimat, dan insyaAllah kita akan terus memberikan taklimat secara berkala kepada MPKK yang mana kawasan mereka berisiko banjir,” ujar Che Adam.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: