Wednesday, 23 October 2019

362 Rumah Mampu Milik Akan Dibina Di Pasir Akar

SHARE





KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – Kerajaan negeri akan membina sebanyak 362 Rumah Mampu Milik (RMM) di Pasir Akar, Besut bermula awal November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, projek yang menelan belanja sebanyak RM62 juta dijangka siap dalam tempoh  30 bulan.

“Insya Allah, ini satu projek baharu kerajaan negeri untuk memenuhi  keperluan dan permintaan penduduk di daerah  Besut khusus di Hulu Besut sendiri.

“Saya difahamkan dalam senarai di sini ada lima ribu lebih pemohon  mendapatkan rumah... ramai yang tiada rumah. Insya Allah dapat projek ini  menyelesaikan sebahagian  permintaan tersebut,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke dua tapak perumahan di Bukit Cina dan Durian Telor, Hulu Besut,  semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah dan Penyelaras DUN Hulu Besut, Ustaz Mat Daik Mohamad.

 Menurutnya, kawasan tersebut akan dibina perumahan rumah teres satu tingkat jenis A sebanyak 68 unit untuk golongan berpendapatan rendah manakala 280 unit jenis B untuk sederhana.

“Kita jangka kalau  projek  perumahan di Bukit Cina dah mula kerja pembinaan dan jangka siap awal 2022, insya Allah.

“Saya minta siap dalam dua tahun supaya tahun 2021 boleh kita bahagi (kepada rakyat). Keperluan mendesak. Rakyat nak sangat rumah. kalau cepat lagi baik,” kata beliau.

Sementara itu, beliau mengadakan lawatan ke tapak cadangan seluas 287 ekar dan tidak termasuk 40 ekar tasik untuk dibangunkan Bandar Baharu Lestari.

“Ini  memang jadi hasrat dalam manifesto PAS kita dulu (akan bina) sebuah bandar baharu  yang bilangan rumah sekitar 2000 hingga 2500 buah rumah (kediaman) dan  kapasiti penduduk antara 10, 000 hingga 15, 000 penduduk   dengan kemudahan asas yang lengkap,” ujarnya.

Justeru itu, beliau akan berbincang dengan unit Perancangan Negeri untuk melihat kesuaian tempat dan keutamaan untuk didahulukan terlebih dahulu.

“Kita ada  lapan daerah yang kemukakan cadangan, masing-masing ada di Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu dan di Besut.  Kita tengok yang mana kita dahulukan. Saya tak boleh nak sebut lagi (keputusan),” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: