Tuesday, 29 October 2019

33.8 Tan Stok Makanan Diagih Hadapi Musim Banjir

SHARE
3.8 tan bekalan makanan untuk diagih ke Pulau Redang.

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Sebanyak 33.8 tan stok bekalan makanan telah diagih ke 152 pangkalan hadapan untuk menampung keperluan mangsa banjir di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar berkata, stok yang disalurkan itu melibatkan peruntukkan sebanyak RM1.4 juta.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut 15 jenis barangan makanan diagihkan antaranya beras, sardin ikan, kari ayam, minyak masak, gula dan air mineral untuk kesemua mangsa di pusat pemindahan.

“Kita sudah mengagihkan bantuan makanan dan keperluan ini ke pangkalan hadapan sejak dua minggu lalu.

“Bekalan yang disediakan ini sudah mencukupi untuk menampung mangsa banjir dalam lingkungan tiga hingga tujuh hari bergantung kepada situasi banjir yang melanda setiap kawasan terjejas,” ujarnya.
Zuhami bersama Suffi dan Shafizi pada sidang media.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi penghantaran stok barangan makanan ke Pulau Redang di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.

Mengulas lanjut, Zuhami menjelaskan, sekiranya situasi banjir di Terengganu bertambah teruk, pihaknya sudah bersedia dengan beberapa alternatif

“Kita telah mengenal pasti beberapa pembekal seperti pasar raya Mydin, Giant dan Sabasun yang boleh menyediakan keperluan tambahan di setiap kawasan terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Zuhami turut memaklumkan seramai 541 kakitangan JKM akan bertugas sepanjang musim banjir ini.


“Kali ini akan dibantu oleh 1,000 sukarelawan termasuk kaunselor dari beberapa agensi kerajaan yang lain.

“Kami juga sentiasa bekerjasama dengan APMM serta agensi penyelamat lain seperti Angkatan Pertahanan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sepanjang musim banjir,” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: