Thursday, 24 October 2019

2,770 Hafiz, Hafizah Berjaya Dilahirkan Imtiaz Yayasan Terengganu Sejak 2008

SHARE

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober- Seramai 2,770 orang hafiz dan hafizah telah berjaya dilahirkan Yayasan Terengganu (YT) menerusi Sekolah Menengah Imtiaz YT sejak tahun 2008 sehingga kini.

Pengarah YT, Ishamudin Hashim berkata, jumlah berkenaan menunjukkan komitmen serta usaha yang berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan pendidikan serta pengajian al-Quran di negeri ini.

Katanya, pelbagai usaha dan inisiatif telah digerakkan dalam memastikan pembangunan modal insan berteraskan kepada prinsip Islam bagi melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing dapat direalisasikan.

“ Antara usaha dan inisiatif kerajaan negeri termasuk penajaan pelajar ke program-program profesional selaras dengan keperluan Industri IR 4.0 di setiap peringkat pengajian.

“Pemerkasaan program-program di di Imtiaz melalui pelan Strategik Sekolah Menengah Imtiaz YT, program pembangunan kemahiran kepada pelajar lepasan SPM dan pelbagai lagi inisiatif lain disediakan oleh kerajaan negeri,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz YT 2019 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. 

Pada majlis itu, seramai 521 orang pelajar tingkatan lima yang bakal menamatkan pengajian diraikan termasuk 300 hafiz  dan hafizah yang telah berjaya khatam 30 juzuk al-Quran.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri serta memenuhi keperluan industri yang banyak dipengaruhi oleh IR 4.0, Yayasan Terengganu telah mengambil langkah dengan membangunkan Pelan Strategik Sekolah Menengah Imtiaz YT.

“Pelan ini juga adalah salah satu langkah bagi memberi halatuju baharu Sekolah Menenengah Imtiaz YT setelah 14 tahun penubuhannya.

“Dengan berteraskan konsep pendidikan iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik, Pelan Strategik ini dirangka agar dapat memperkasakan lagi intergrasi Ilmu dengan menjadikan al-Quran sebagai teras utama dalam penerokaan ilmu warga Imtiaz,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: