Thursday, 24 October 2019

274 Belia Akan Disaring Untuk Persidangan DUN Belia

SHARE



Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober- Seramai 274 belia yang memohon melalui laman sesawang bagi menjayakan Program Persidangan DUN Belia Terengganu (PPDBT) akan menjalani sesi temuduga bertempat di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 pada 29 Oktober ini.

Melalui sesi temuduga itu, seramai 34 belia pelbagai latarbelakang berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun akan dipilih  untuk meyertai program anjuran kerajaan negeri  melalui Urus Setia Belia,Sukan,Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) itu..

Daripada jumlah itu, 32 peserta akan mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, manakala selebihnya iaitu seorang Yang Dipertua DUN dan seorang Adun Wanita.
PPDBT yang dianjurkan buat kali pertama di negeri akan diadakan pada 23 Disember 2019 di Wisma Darul Iman, di sini

Mereka yang terpilih untuk hadir menjalani temuduga itu adalah penduduk asal dan bermastautin di Terengganu, fasih berbahasa Melayu dan  pakaian perlu bersesuaian serta  menutup aurat.

Peserta yang disenarai pendek perlu mengikuti kem pemilihan selama dua hari satu malam yang akan meliputi beberapa proses pemilihan dan temuduga.

Pegawai Belia Urus Setia Belia,Sukan,Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Irsyad Syafiq  berkata PPDBT adalah platform untuk perbahasan idea-idea dan cadangan yang berkaitan pembangunan belia untuk di bawa kepada kerajaan negeri sebagai input dalam proses pembuatan polisi.

Katanya, langkah itu sangat wajar bagi melahirkan dan mengasah bakat – bakat baru kepimpinan negeri sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan.

“Pada masa sama mampu mempertingkatkan keberkesanan saluran bagi belia menyalurkan input kepada proses membuat keputusan berkaitan permasalahan belia,”katanya

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: