Sunday, 6 October 2019

250 Sertai Tour Quranic Bersama Daie 2019

SHARE

Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 6 Oktober - Seramai 250 orang peserta berpeluang menyertai program 'Tour Quranic bersama Daie 2019' anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) bertempat di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) baru-baru ini.

Antara pengisian peserta berkesempatan mendengar bicara ilmu al-Quran bersama 'daie' (pendakwah) dan mempelajari dengan lebih mendalam bacaan talaqi bersanad di dalam surah-surah pilihan termasuk al-Fatihah, al-Kahfi, Taha, al-Ikhlas, an-Nas, al-Falaq, al-Waqiah dan ar-Rahman.

Pengajian disampaikan oleh 2 orang guru berpengalaman iaitu guru al-Quran Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman, Sheikh El Shawadfi Abou Taleb Ibrahim dan Pensyarah Pusat Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ustaz Dr. Azizul Hassan.


Pengarah Program yang juga Penyelia DUAT Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, Ustaz Ahmad Khairuddin Mohd Zaki ketika ditemui memanjat kesyukuran di atas kejayaan menganjurkan program yang berlangsung dengan baik dan lancar.

"Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan  kepada semua peserta tentang bacaan serta sebutan yang betul dan kelebihan-kelebihan yang terkandung di dalam al-Quran di mana mungkin ada di antara kita yang masih belum mengetahuinya secara menyeluruh.

"Kami mengharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan semoga mendapat sokongan daripada masyarakat di sini," tambahnya lagi.


Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid. Turut hadir, Pengarah DUAT Terengganu, Ustaz Ramlan Mahmood serta kakitangan Pejabat ADUN dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di daerah Kemaman.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: