Tuesday, 1 October 2019

22 Tahun Saya Tunggu Saat Ini - Mek Tang Na

SHARE
Mek Tang Na.
Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU, 1 Oktober - Tiada ungkapan yang mampu diluahkan melainkan perasaan gembira bagi seorang penduduk tempatan, Siti Aslina Abdullah, 48, apabila menerima hak milik tanah semalam.

Menurut Aslina yang juga mesra dengan panggilan Mek Tang Na, impiannya untuk memiliki tanah sendiri sejak menjadi penduduk di Pulau Redang 22 tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan.

Katanya, dia begitu teruja dan tidak sabar menanti hari penyerahan hak milik oleh kerajaan negeri setelah melalui pelbagai cabaran untuk mendapatkan tanah berkenaan.

“Saya bersyukur kerana diterima menjadi penduduk yang terbukti telah banyak mengubah hidup keluarga saya memandangkan saya tidak mempunyai tanah sejak menjadi penduduk di sini.

Aslina berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Peserta-Peserta Bagi Rancangan Penempatan Semula  di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Pulau Redang.
Shafizi dan Satiful bersama-sama penerima.
Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang hadir sama berkata, kegembiraan dan kelegaan jelas terpancar pada wajah-wajah penerima geran tersebut.

Beliau juga berharap agar penerima mampu menguruskan tanah itu dengan baik demi manfaat generasi akan datang.

“Ia adalah hadiah kepada penerima setelah hampir 30 tahun menunggu saat ini. Mereka berhak memohon dan baru sekarang ia dapat direalisasikan dengan penyerahan rasmi geran hak milik ini.

“Kerajaan negeri terus komited penyelesaikan isu tanah rakyat seperti yang dijanjikan dalam Manifesto PAS,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, seramai 105 pemohon yang menanti 
sejak program tersebut diluluskan kerajaan negeri pada tahun 1994 telah mendapat geran hak milik. 




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: