Tuesday, 15 October 2019

12 Rangkaian Stesen Pencerapan Meteorologi Diaktifkan Hadapi Kemungkinan Banjir

SHARE


KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- Jabatan Meteorologi Malaysia (Met.Malaysia) mengaktifkan sebanyak 12 buah Rangkaian Stesen Pencerapan Meteorologi Malaysia (Real Time Data), di seluruh Terengganu.

Pengarah Jabatan Meteorologi (Met MalaysiaTerengganuRosli Zakaria berkata, langkah itu sebagai persediaan awal menghadapi fenomena Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan berlakunya banjir dijangka bermula awal bulan hadapan dan berakhir Mac 2020.

Katanya, buat masa sekarang Terengganu berada dalam tempoh fasa peralihan monsun tersebut dimana keadaan cuaca semasa adalah seperti sekarang, iaitu cerah di awal pagi serta mendung, dan sedikit hujan atau berawan, kadangkala hujan lebat pada awal petang sehingga ke sebelah malam atau awal pagi (pendalaman).

“Semasa tempoh monsun ini, beberapa episod hujan lebat monsun yang menyeluruh dijangka berlaku terutama di negeri pantai timur Semenanjung dimana Terengganu dan Kelantan akan menerima hujan pada paras purata iaitu diantara 350 milimeter (mm) hingga 850mm.

“Pada Disember ini, Kelantan serta utara Terengganu dijangka menerima hujan pada paras purata antara 450mm hingga 800mm, manakala kawasan tengah hingga selatan Terengganu, timur Pahang dan timur Johor dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata antara 600mm hingga 900mm,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Katanya, kejadian hujan monsun di beberapa negeri terutama di sebelah pantai timur Semenanjung mulai berkurang menjelang Januari 2020 dimana utara Terengganu menerima hujan pada paras purata antara 300mm hingga 500mm.

“Pada bulan Februari 2020, negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, kawasan Hulu Perak, Terengganu, Kelantan, Melaka dan barat Johor dijangka menerima hujan pada paras purata yang kurang daripada 100mm dan begitu juga bagi bulan Mac 2020, kebanyakan negeri di Semenanjung akan menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 300mm,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai memuatnaik aplikasi MyCuaca yang dibangunkan jabatan berkenaan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: