Wednesday, 11 September 2019

Yakin Sasaran Kehadiran Pelancong Ke Terengganu Dicapai

SHARE

KUALA TERENGGANU, 11 September - Kerajaan negeri yakin sasaran kehadiran pelancong ke negeri Terengganu seramai lima juta dapat dicapai sehingga ke penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Arifin Deraman berkata, dijangka pelancong tetap datang ke negeri Terengganu terutama Tasik Kenyir.

“Kita tiada angka lagi tapi kita buat kaji selidik dengan adanya suku pertama Mac,  suku kedua Jun, dan suku ketiga bulan Ramadan dan kita ambil kira semua.

“Memang kita jangka sebenarnya angka lebih kurang sahaja dengan angka tahun lepas dan lonjakan sehingga bulan 12 insya-Allah. Angka sebenar sehingga Jun kita tak dapat lagi,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata demikian dalam sidang media di Marina Duyong Resort, di sini semalam.

Menurutnya, memang berlaku pengurangan pelancong datang pada bulan November, Disember sehingga bulan Mac kerana pada waktu itu adalah musim tengkujuh.

“Kalau sebelah pantai pada tahun lepas kerajaan negeri tidak membenarkan pelancong datang  bulan  Oktober, November, Disember ke pulau.

“Pengusaha sendiri atas dasar keselamatan tidak membawa  penumpang pada tarikh tersebut  dan memang berlaku pengurangan pelancong pada November,  Disember hingga bulan Mac sehingga pulau dibuka kembali,” ujar beliau.

Oleh itu, kata beliau, pelancong ada yang tetap datang ke mana-mana pulau yang ada di negeri Terengganu tetapi tidak seramai waktu biasa kerana faktor musim.

“Maksudnya ada sahaja orang di pulau itu tetapi tidak  seramai yang biasa dan ambil masa bulan Jun, Julai, Ogos, September sehingga Oktober,” tambahnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: