Saturday, 28 September 2019

XOCM Bantu Promosi Terengganu

SHARE
Peserta XOCM Ganu East Coast Ride 2019 bersama Wan Sukairi (tengah) dan Ahmad Amzad (lima dari kanan) di Pantai Batu Buruk.

KUALA TERENGGANU, 28 September - Kerajaan negeri mengharapkan agar Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Korporat dan Swasta tampil bagi menjayakan program-program pelancongan dalam merealisasikan industri pelancongan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata badan-badan itu dialu-alukan untuk membantu kerajaan negeri menerapkan didikan terutama di kalangan golongan belia dan remaja tentang pengendalian motosikal dan cara menunggang berhemah.

"Ia  sebagai satu usaha mengurangkan gejala-gejala negatif seperti merempit, buli jalanan seterusnya membantu meminimakan kadar kemalangan jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan XOCM Ganu East Coast Ride 2019 di Pantai Batu Buruk di sini semalam

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.
 
Ahmad Amzad (kiri) menandatangani patung penyu (ikon Terengganu) seorang peserta XOCM Ganu East Coast Ride 2019.
Acara itu bermula dari Kuala Lumpur semalam dan berakhir di Batu Buruk hari ini.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, kerajaan negeri berharap agar program sebegini membuktikan pengendalian kenderaan bermotor secara positif boleh memberi manfaat terutama kepada generasi muda yang meminati permotoran sama ada menjadikan permotoran sebagai karier atau mengambil peluang-peluang keusahawanan di dalam industri permotoran.

“Program sebegini sememangnya dialu-alukan oleh kerajaan negeri kerana ia mampu memberi impak kepada kempen promosi Beautiful Terengganu, Malaysia berdasarkan ’participation event’ (acara penyertaan) yang boleh menarik penyertaan pemilik-pemilik motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara berdasarkan ’spectator event’ (penonton acara) yang boleh membawa kehadiran ramai peminat-peminat motor berkuasa tinggi dalam dan luar negara,” jelasnya.
Ahmad Amzad (kanan) turut serta dalam Acara XOCM Ganu East Coast Ride 2019.
Beliau juga mengharapkan peserta acara tersebut membantu memperkenalkan produk dan destinasi pelancongan yang terdapat di Terengganu.

“Di samping itu ia boleh merapatkan ukhwah sesama rakan permotoran di samping menjadikan ahli-ahli kelab sebagai duta pelancongan Negeri Terengganu dalam membantu memperkenalkan produk dan destinasi pelancongan Negeri Terengganu,”ujarnya

Wan Sukairi juga berkata, negeri Terengganu sentiasa menjadi pilihan di kalangan pemilik dan peminat motosikal yang mengambil kesempatan untuk aktiviti berkonvoi menghabiskan percutian mereka di negeri ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: