Sunday, 22 September 2019

Wisma Putra Perlu Hantar Nota Bantahan

SHARE
Ahmad Amzad (kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed (kanan), minum pagi di Bandar Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU, 22 September - Kerajaan Malaysia didesak supaya menghantar nota bantahan serta mengecam perlakuan Bot Penguatkuasa Maritim Vietnam yang menceroboh masuk sejauh lapan batu nautika ke dalam Perairan Negara pada Rabu lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan tersebut disifatkan boleh menggugat kedaulatan negara dan aktiviti itu tidak boleh dipandang ringan.

"Saya difahamkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menghantar nota kepada Wisma Putra meminta dihantar nota bantahan.

"Bagi pihak Parlimen Kuala Terengganu, saya mendesak kerajaan supaya mengecam perlakuan bot milik Kerajaan Vietnam itu, sekali gus menghantar nota bantahan serta meminta mereka mengambil tindakan sewajarnya kerana kita tidak boleh memberi sebarang perakuan kepada sebarang tingkah laku bersifat mencemar Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

"Kapal asing tidak boleh sewenang-wenangnya masuk menceroboh di dalam perairan kita," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, sekalipun Kerajaan Malaysia sedang menjalankan 'Ops Naga', namun operasi mengawal perairan negara perlu diperketat dan dipertingkatkan.

Ini katanya, termasuk menahan kapal-kapal nelayan asing yang masuk ke perairan Malaysia dan diambil tindakan sewajarnya.

"Saya harap supaya ini (insiden itu) tidak melemahkan semangat anggota keselamatan kita untuk terus berusaha dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan dari pihak asing," jelas Ahmad Amzad.

Beliau berharap dengan adanya nota bantahan itu perairan negara selamat dari pencerobohan nelayan dan bot asing.

"Saya difahamkan 'European Nation' (EN) mengenakan kad merah kepada negara-negara tertentu dan hasil tangkapan nelayan mereka diharamkan untuk dijual ekoran daripada tindakan melanggar undang-undang antarabangsa.

"Begitu juga saya harap tekanan yang sama dapat dibuat supaya di pihak Vietnam terus mengawal aktiviti bot-bot nelayan mereka daripada menceroboh kedaulatan negara-negara lain.

"Ini kerana ia tidak baik untuk ekonomi dan tidak baik untuk hubungan antarabangsa, lebih-lebih lagi Vietnam merupakan sebahagian daripada negara ASEAN yang dianggap sahabat kita dalam kesatuan Asia Tenggara," jelasnya.

Terdahulu dilaporkan sebuah kapal penguat kuasa Vietnam bertindak biadap apabila menceroboh perairan negara dan mengganggu aset Maritim Malaysia di 167 batu nautika timur laut Tanjung Mat Amin, Terengganu, 18 September lalu.
Dalam kejadian jam 9.48 pagi itu, kapal FRS KN205 Vietnam itu cuba menghalang Kapal KM Langkawi milik Maritim Malaysia yang menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menceroboh perairan negara bagi mencuri hasil laut.
Bagaimanapun, tindakan pantas kru KM Langkawi berjaya menggagalkan usaha kapal penguatkuasa Vietnam itu sekali gus mengusirnya keluar dari perairan negara.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: