Wednesday, 18 September 2019

'Warung Jalanan' Beri Rezeki Kepada Hasmawi

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 19 September- Peningkatan kos sara hidup sejak beberapa tahun lalu memaksa ramai anak muda menceburi dunia perniagaan bagi menjana pendapatan.

Bagi Hasmawi Hussin,34, dia tidak menyangka bidang yang diceburinya sejak tujuh tahun lalu iaitu dengan membuka ‘warung jalanan’ dengan menggunakan 'food truck' yang beroperasi di Pusat Niaga Sura Gate memberikan sumber rezeki kepadanya.

"Diantara strategi memastikan perniagaan ini terus bertahan, saya mempelbagaikan jualan dimana selain menjual keropok, popia goreng, kuih muih dan air baling, saya juga mengikut perkembangan semasa dan jual apa yang diviralkan bagi menarik perhatian masyarakat.

"Contohnya seperti air minuman 'Boba' amat popular sekarang ini, maka saya juga jual dengan ubah suai dengan cara tersendiri agar bertepatan dengan citarasa pelanggan,” ujarnya ketika ditemui pihak media, ketika meniaga di Pusat Niaga Sura Gate, Dungun, semalam.

Menurutnya, apa yang 'trending' mesti dicontohi disamping mempertahankan apa yang telah diniagakan semenjak dahulu.

"Jika tidak ikut perkembangan semasa, jualan akan berkurangan, dan alhamdulillah jika pendapatan sebelum ini RM 400 sebagai contoh semenjak meniaga Air Boba ini pendapatan meningkat dua kali ganda," ujarnya.

Katanya, dia memilih berniaga di jalanan kerana mudah dan senang serta tidak memerlukan kos yang tinggi dengan penglibatan pekerja yang ramai.

"Cukup hanya dua orang sahaja, kalau di waktu cuti boleh ambil pekerja sambilan, berbeza kedai makan yang memerlukan pekerja yang ramai, kalau pelanggan tak ramai gaji pekerja tetap kena bayar," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: