Saturday, 7 September 2019

Wany Hasrita Ungguli 'Toyota Gazoo Racing' Terengganu 2019

SHARE
Selebriti terkenal, Wany Hasrita muncul juara.
KUALA NERUS, 7 September – 'Toyota Gazoo Racing' (TGR) Festival 2019 di Litar Permotoran Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, di sini hari ini menyaksikan Wany Hasrita muncul sebagai pemenang bagi kategori selebriti.

Kemenangan pada pusingan pertama perlumbaan kedua tersebut dicapai selepas menewaskan Nabila Razali serta Shukri Yahya yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penyertaan artis dalam kejohanan anjuran syarikat Toyota membuktikan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri tidak menjadi penghalang untuk mereka turut serta.

Bahkan beliau berkata, kerjasama yang diberikan pihak penganjur sangat profesional dan menarik minat kerajaan negeri untuk meneruskan penganjuran program tersebut pada musim akan datang.

“Kalau kita tengok penampilan setiap acara hari ini termasuk yang disertai para artis, penampilan mereka sangat sopan dan baik, dan ia tidak menjadi masalah pada kita.


'Flag Off' dilakukan Wan Sukairi sebagai gimik perasmian kejohanan.
“Kita nak menonjolkan bakat mereka, bukan nak ekploitasi apa-apa daripada mereka, kita juga telah meletakan garis panduan dan ia diikuti dengan baik oleh pihak penganjur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kejohanan tersebut, di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi meningkatkan kualiti sukan permotoran di Terengganu, kerajaan negeri sedang berusaha untuk membina satu lagi litar yang akan berpusat di Kemaman.

“Kita telah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menjayakan pembinaan tersebut, memandangkan beliau sendiri bercadang untuk membina satu litar permotoran di setiap negeri.

“Kita dah ada satu litar, di sini (Kuala Nerus) tetapi ini di bawah kerajaan negeri, jadi peruntukkan kerajaan pusat itu kita bercadang untuk bina di Kemaman,” tambah beliau.

Festival yang berlangsung sejak 4 September lalu dan berkahir hari ini itu turut menampilkan tujuh lagi pelumba selebriti antaranya Shawn Lee, Janna Nick, Nabil Ahmad, Khai BaharAin Edruce, Syafiq Kyle dan Akio Takeyama.

Wan Sukairi (tengah) bersama barisan pelumba TGR.
 Acara-acara seperti pameran dan sesi pandu uji kenderaan baru Toyota, persembahan 'drift', cabaran perlumbaan simulator, permainan pentas dan persembahan oleh selebriti turut menghangatkan program.

Pusingan kedua TGR 2019 akan berlangsung di Lembah Klang dan seterusnya Johor bagi tiga bagi melengkapkan empat pusingan.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: