Tuesday, 17 September 2019

Tiada Arahan Guna Aset Kerajaan Ke Himpunan Penyatuan Ummah - Satiful

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 September- Kerajaan negeri menegaskan tidak ada arahan diberikan kepada jabatan dan agensi negeri untuk menggunakan aset pengangkutan mereka bagi membawa rombongan parti politik di Terengganu ke program himpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata jika pengangkutan itu disewakan oleh jabatan dan agensi berkenaan kepada pihak luar dan itu bukan satu kesalahan, malah jabatan dan agensi itu dapat menjana pendapatan.

Katanya, kerajaan negeri tidak menghalang jika jabatan dan agensi kerajaan negeri menyewakan bas atau van kepada pihak luar.

"Mungkin banyak kemudahan bas sewa sudah habis ditempah menyebabkan ada pihak mencari alternatif menyewa bas jabatan dan agensi kerajaan negeri.

"Tetapi secara khusus kita memang tidak ada keluarkan arahan supaya guna aset pengangkutan kerajaan untuk tujuan membawa peserta rombongan parti politik ke himpunan itu," katanya.

Satiful yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS negeri berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Kolokium Tiga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Timur, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali; Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato' Abdullah Yaakub dan Yang Dipertua DUN Pahang, Dato' Seri Ishak Muhamad.


Beliau diminta menjawab dakwaan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang mempersoalkan pengunaan bas milik Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) oleh PAS Terengganu untuk tujuan itu.

Berkongsi hantaran dan gambar bas berkenaan yang dimuat naik laman Facebook Ana Tahu, Noor Amin berkata beliau belum pernah mendengar bas milik jabatan kerajaan disewakan terhadap mana-mana parti politik.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: