Thursday, 19 September 2019

Terengganu Tawar TUGAS Bantu Penjaja Jalanan

SHARE
Nurkhuzaini.


KUALA TERENGGANU, 19 September- Kerajaan Terengganu menawarkan bantuan perniagaan melalui dana Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) kepada penjaja jalanan yang berleluasa di negeri tersebut.

Pengerusi  Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) juga sedang menilai cadangan dan meneliti halangan untuk para penjaja terus menjalankan aktiviti peniagaan mereka.

“Kita ada tabung-tabung pembiayaan yang boleh dimanfaatkan sekiranya mereka ingin memperbaharui cara perniagaan mereka. Namun, khusus untuk penyelesaian isu ini masih tiada.
“Cuma, mungkin apa yang kita tawarkan tidak sesuai dengan cara mereka. Ini kerana, kebanyakan mereka bukan pengusaha produk tersebut, sebaliknya hanya mengambil upah menjaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan faedah pengurusan mayat berjumlah RM4,000 kepada kepada waris pasangan suami isteri, Mohd Hanafi Ismail dan Salimah Mohd Shafei yang maut kemalangan dalam kejadian di Jalan Kota Tinggi-Mersing di Johor, Jumaat lalu di Sekolah Menengah Agama Khairiah, di sini, semalam.
Nurkhuzaini menyampaikan replika cek kepada anak pasangan tersebut, Nur Syazwani dan Muhammad Akmal.

Awal Ogos lalu, kerajaan negeri mengumumkan untuk menghentikan aktiviti perniagaan jalanan yang menyalahi undang-undang secara serta-merta.

Nurkhuzaini bagaimanapun memaklum, hasil daripada perbincangan antara kedua pihak, kerajaan negeri bersetuju menangguhkan tindakan penguatkuasaan.  

“Kerajaan negeri memberi tempoh untuk mereka mencari alternatif perniagaan baharu sebelum kita menguatkuasakan undang-undang yang telah diputuskan sebelum ini, bermula November depan.

“Dalam masa yang sama, perbincangan terus berlangsung untuk mencari jalan membantu mereka. Insya-Allah hujung oktober ini , kerajaan negeri akan cuba kemukakan satu langkah yang sesuai dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sedia menerima sebarang cadangan berkenaan lokasi yang sesuai untuk meneruskan perniagaan dan penjaja terlibat boleh memaklumkannya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Setakat ini, satu lokasi iaitu di Jalan Sultan Omar dikatakan sesuai untuk tujuan tersebut, tetapi perkara ini masih dalam perbincangan dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) optimis tentangnya,” jelasnya.

Tambahnya, penguatkuasaan itu nanti akan dilaksanakan empat agensi iaitu MBKT, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Mereka mempunyai bidang kuasa berbeza, jadi kita di pihak kerajaan sentiasa memberi nasihat supaya penguatkuasa tidak melihat penjaja sebagai pelaku kesalahan yang besar.

“Perlu diingat, kita cuma melaksanakannya kerana peraturan dan undang-undang serta kerajaan negeri amat berharap tidak berlaku isu-isu keganasan, sebagaimana yang pernah terjadi di tempat lain,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: