Tuesday, 17 September 2019

Selepas Bedal PKNS, Terengganu Ke Suku Akhir

SHARE

Foto oleh - media TFC.
KUALA TERENGGANU, 17 September - Terengganu Football Club (TFC) garang membelasah PKNS FC 2-0 pada aksi terakhir Piala Malaysia peringkat kumpulan A di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Dua jaringan pada 10 minit pertama perlawanan masing-masing menerusi Sanjar Shaakmedov dan Tchetche Kipree membawa TFC ke suku akhir.

Turun beraksi dengan kesebelasan yang  berbeza berbanding menentang Kedah tempoh hari, TFC pantas melancarkan serangan seawal minit pertama.

Hasilnya, pada minit ke-4 hantaran cantik Ashaari Samsudin disudahkan dengan bergaya oleh Sanjar, rembatan kencang Sanjar gagal ditepis penjaga gol PKNS menjadikan kedudukan memihak kepada pasukan pelawat.

Tersentak dengan jaringan awal pasukan TFC, PKNS cuba bangkit dan berjaya mendapatkan sepakan percuma di luar kotak penalti TFC pada minit ke-7, namun, gagal dimanfaatkan oleh Romel Morales apabila sepakannya melepasi palang gol.

Berselang satu minit kemudian, gerakan pantas Lee Tuck yang menewaskan pemain tengah PKNS dirembat kencang Kipree untuk jaringan kedua TFC.

Aksi berbalas serangan berlanjutan hingga tamat babak pertama, namun tiada tambahan gol dihasilkan.

Bersambung separuh masa kedua, PKNS cuba merapatkan kedudukan, peluang itu hadir menerusi gerakan Mahali Jasuli pada minit ke-46 tetapi digagalkan Penjaga Gol TFC, Wan Azraie.

TFC yang mengendurkan sedikit permainan sesekali hadir melakukan serangan merbahaya, antaranya sepakan deras Lee Tuck pada minit ke-51 dan 67.

Beberapa percubaan daripada kedua-dua pasukan gagal menemui jaringan, menyaksikan kedudukan dua gol tanpa balas kekal hingga tamat perlawanan.

TFC menamatkan saingan Piala Malaysia Kumpulan A di kedudukan kedua dengan 12 mata di belakang Kedah yang mengumpul 13 mata.

Kedudukan itu menyaksikan TFC bakal membuat perhitungan dengan JDT di peringkat suku akhir.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: