Sunday, 29 September 2019

Terengganu FC B-19 Juara Piala Belia

SHARE
Skuad 'Ubi' Terengganu berada pada kelas tersendiri apabila hanya bolos lapan gol sepanjang kejohanan.

 KUALA TERENGGANU, 28 September - Skuad bola sepak bawah 19 tahun Terengganu muncul juara Piala Belia 2019 selepas menewaskan PKNS FC B-19 1-0 dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Beraksi di stadium keramat Terengganu FC IV, PKNS FC turun dengan kesebelasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu selepas terikat 0-0 pada saingan akhir pertama minggu lalu.

Segala-galanya bermula baik buat PKNS FC apabila hadir menerusi ancaman Ezry Fashli Halimi seawal minit ke-3, namun sepakannya tinggi melepasi palang gol.

Tersentak dengan serangan itu, TFC IV bangkit melakukan serangan pantas, hasilnya pada minit ke-5 rembatan leret Muslihuddin 'Atiq dinafikan pertahanan PKNS.

Pada minit ke-20 serangan pantas TFC IV melalui gerakan Muhammad Aiman Hakim hampir membuka jaringan pertama, namun sekali lagi dinafikan pertahanan PKNS FC.

Perlawanan terus berlangsung sengit dengan aksi berbalas serangan kedua-dua pasukan, namun ketumpulan jentera serangan menyebabkan tiada jaringan terhasil.

Bersambung babak kedua, TFC IV memperkemaskan rentak permainan, serangan bertali arus menerusi kepantasan sayap kiri dan kanan berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan mereka.

'Atiq muncul wira Terengganu apabila menjaringkan gol kemenangan.
Minit ke-50 gerakan cantik dari tengah padang hampir-hampir memecah kebuntuan gol, apabila ‘Atiq bijak menyelinap dari sayap kanan sebelum melepaskan rembatan kencang yang ditepis penjaga gol.

Serangan bertali arus akhirnya membuahkan hasil, pada minit ke-62 hantaran dari tengah padang berjaya dihidu ‘Atiq sebelum menggelecek pertahanan dan penjaga gawang PKNS.

Gawang yang terbuka luas terus dimaanfaatkan ‘Atiq untuk jaringan pertama yang juga gol kemenangan buat pasukan TFC IV sekali gus menggembirakan 1,225 penyokong.

PKNS yang sesekali hadir melancarkan serangan ternyata buntu untuk untuk merobek pertahanan TFC IV yang diketuai Muhammad Ikhwan Hakim.

Keputusan 1-0 terus kekal hingga tamat perlawanan walaupun PKNS hampir menjaringkan gol beberapa minit sebelum permainan tamat.

Dengan kemenangan itu, TFC IV membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM80,000 serta piala kejuaraan, manakala, PKNS yang muncul sebagai naib juara menerima RM50,000.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: