Wednesday, 18 September 2019

Tapir Pulang Ke Habitat Asal

SHARE

Oleh: Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU, 18 September - Tapir seberat hampir 80 kilogram yang berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam longkang di Kampung Kubang Tepak, Manir telah dikembalikan semula ke kawasan hutan berhampiran.

Hidupan liar ini telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut bagi melindunginya daripada kepupusan.

Pengarahnya, Dr Abdul Malik Mohd Yusuf berkata Tapir itu telah di pulangkan ke habitat asal di hutan berhampiran.

"Penduduk sekitar juga tidak perlu bimbang kerana spesis ini tidak membahayakan dan sebab itu dikembalikan semula ke hutan.

 "Ia secara langsung dapat mengekalkan populasi hidupan liar berkenaan daripada diancam kepupusan," ujarnya ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubang Tepak, Yusoff Umar berkata, terdahulu tapir yang dipercayai sesat dari hutan berhampiran kampung tersebut, bagaimanapun bertindak agresif dan lari sebaik sahaja diselamatkan sepasukan anggota bomba dengan dibantu penduduk kampung.

"Tapir melarikan diri ke hutan berdekatan selepas terlolos dari ikatan tali hasil daripada tangkapan malam tersebut.

"Binatang berkenaan akhirnya berjaya ditangkap semula ketika ditemui dalam keadaan lemah tidak jauh dari lokasi dia terjatuh pada kira-kira sejam kemudian dan diserahkan kepada PERHILITAN untuk tindakan seterusnya," ujar Yusoff.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: