Friday, 27 September 2019

Taekwando Pantai Tawan Hati Pengunjung TBG

SHARE

Peserta sekolah tadika yang berjaya mengondol pingat.
KUALA TERENGGANU, 27 September - Pertandingan taekwando pantai yang menjadi acara utama dalam ‘Terengganu Beach Game’ (TBG) 2019 berjaya menarik ribuan pengunjung tempatan dan luar negara untuk menyaksikan sukan itu.

Presiden Persatuan Taekwando Negeri Terengganu (PTNT), Dato’ Din Adam berkata, Terengganu merupakan pemula dan satu-satunya negeri yang menganjurkan pertandingan tersebut.

Selain itu ujarnya, sukan ‘dodgeball’ turut mencuri perhatian pelancong apabila ramai antara yang mereka turut serta mencuba permainan berkenaan.

“Kemeriahan sambutannya dirasai apabila acara-acara itu memperlihatkan peningkatan penyertaan peserta tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Sambutan hebat daripada peserta dan pengunjung itu sekali gus mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi kepada penduduk sekitar yang membuka perniagaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian TBG 2019 yang disempurnakan oleh Penaung PTNT dan TBG, Tengku Sri Temenggong Raja Dato' Sri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud di Batu Burok, di sini hari ini.

Din Adam mencadangkan agar TBG dijadikan acara tahunan.
Sementara itu, menurut Pengarah TBG 2019, Mohamad Ramlan Mohd Farook, beliau berbangga dengan sokongan dan penyertaan peserta pada kali ini yang menunjukkan peningkatan mendadak.

Katanya, peningkatan peserta dalam acara taekwando kategori sekolah tadika mampu memberikan impak yang positif dalam pembangunan sukan itu pada masa hadapan.

“Untuk sekolah tadika, yang mengumpulkan kanak-kanak berumur tiga hingga enam mencatatkan 159 peserta manakala sekolah menengah menyaksikan 192 orang bertanding.

“Penyertaan untuk ‘fun ride’ juga membuktikan TBG ini mampu memberikan pulangan lumayan kepada negeri, apabila seramai 700 peserta akan berkayuh malam ini” tambahnya.

Dalam pada itu, Ramlan memaklumkan, pihaknya yakin lebih 10,000 pengunjung akan hadir menyaksikan kemeriahan TBG 2019 yang akan berakhir esok.

Mohamad Ramlan. 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: