Thursday, 19 September 2019

Syarikat Telco Perlu Tingkatkan Kualiti Perkidmatan

SHARE
Dr Azman Ibrahim.

Oleh: Hidayah Azlin 

SETIU, 19 September – Semua syarikat telekomunikasi (Telco) disaran meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi memastikan pengguna mendapat akses yang terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi memenuhi keperluan rakyat, syarikat terlibat perlu bersedia untuk melabur dan menyelesaikan masalah itu.

Katanya, di sepanjang jalan utama Jerteh ke Kuala Terengganu, terdapat banyak tempat yang tiada liputan talian telefon terutama dalam Daerah Setiu dan Kuala Nerus.

“Kita pengguna sebenarnya tidak banyak pilihan. Talian ‘A’ ok di sini, tidak ok di tempat lain, talian B pula sebaliknya. Ini belum lagi cerita, tempat perhimpunan ada orang ramai sikit, talian terus bermasalah.

“Bukan di kampung malah di tengah ibu kota semasa Himpunan Perpaduan Ummah baru-baru ini pun talian bermasalah juga. Di Padang Arafah jutaan manusia berkumpul, talian telefon tiada masalah,” ujarnya menerusi laman sosial ‘Facebook’ rasminya, semalam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, di laluan utama Jalan Persekutuan dalam negeri Terengganu, masih terdapat tempat yang tidak mempunyai sebarang akses.

“Laluan yang kita lalu hampir setiap hari. Terasa betapa ketinggalannya kita, ketika negara lain bercakap tentang 5G dan 6G, kita masih ada lagi tempat tiada akses di laluan utama Jalan Persekutuan. Kalau ada signal ‘E’ pun kira dah ok.

“Setahu kita, Malaysia antara negara dengan nisbah jumlah pengguna telefon bimbit tertinggi di dunia. Maknanya bisnes Telco sangat menguntungkan,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: