Thursday, 5 September 2019

SUTERA 2019 : ‘Kemaman Kemah Keming’ Suntik Semangat Atlet

SHARE
Foto: Ahmad Syahid Adnan
Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 5 September - Slogan ‘Kemaman Kemah Keming’ menjadi penyuntik semangat kepada atlet Kemaman untuk beraksi cemerlang di Sukan Terengganu (SUTERA 2019) yang bermula hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, persiapan kental dari segi fizikal dan mental yang diterapkan sepanjang latihan sangat bersesuaian dengan slogan dicipta.

“Suntikan semangat ini perlu supaya atlet Kemaman dapat mendominasi SUTERA 2019 sekali gus menjadi juara keseluruhan temasya pertama kali ini,” kata beliau kepada pemberita di Majlis Penyerahan Bendera dan Pelepasan Kenderaan ke temasya tersebut, di sini semalam.


Ir Saiful Azmi juga memberitahu, SUTERA 2019 adalah medan terbaik kepada atlet membuktikan kemampuan masing-masing yang mungkin membuka laluan kepada mereka beraksi mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) tahun hadapan.

“Penganjuran SUTERA 2019 yang diadakan secara dwi tahunan berselang seli dengan penganjuran SUKMA melibatkan beberapa acara sukan seperti bola, hoki, sepak takraw, badminton, pingpong dan sebagainya,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Ridhwan Abdul Rahman menggalas cabaran sebagai ketua kontinjen ke temasya yang akan berakhir pada 9 September 2019 ini.

“Kontinjen Kemaman diwakili 246 atlet dan 34 pegawai dalam temasya sukan yang pertama kali diadakan ini, ia juga model kejohanan sukan patuh syariah pertama di negara kita.

“Sebanyak 13 sukan dengan 98 acara dipertandingkan bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

“Jumlah keseluruhan pingat yang dipertandingkan adalah 68 emas, sasaran kutipan pingat Kemaman adalah 22 emas, 23 perak, 19 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan kutipan pingat sebanyak 64,” ujar beliau.

Sementara itu, Burung Macaw sejenis burung terancam yang mempunyai ekor panjang dan berwarna warni dipilih sebagai maskot kontinjen Kemaman.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: