Saturday, 7 September 2019

Sukan Terengganu 2019 Buka Tirai

SHARE
Piala SUTERA menjadi rebutan sembilan kontinjen.

KUALA NERUS, 7 September - Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2019 membuka tirai secara rasmi dengan penuh gilang gemilang di Stadium Mini Olahraga, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini malam tadi.

Perasmian kejohanan dwi-tahunan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah tepat jam 9.00 malam dengan lafaz perasmian disusuli gimik penyerahan baton.

Ribuan penonton dan penyokong setiap pasukan bertanding hadir seawal jam 7.00 petang bagi menyaksikan temasya bersejarah itu.

Hadir sama, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim serta Pegawai-Pegawai Majlis Sukan Negeri.
Gimik penyerahan baton dijayakan oleh atlet-atlet kelahiran Terengganu yang berjaya di peringkat antarabangsa.
Lintas hormat itu dijayakan 2110 atlet dan pegawai daripada sembilan kontinjen yang diketuai oleh Kuala Terengganu, diikuti Kemaman, Dungun, Besut, Hulu Terengganu Marang, Setiu, Kuala Nerus, dan Kelantan selaku kontinjen jemputan.

SUTERA 2019 berlangsung dari 5 hingga 9 September melibatkan 96 acara dengan menawarkan 319 pingat keseluruhan daripada 13 jenis sukan.

Penganjuran SUTERA 2019 adalah kali pertama selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2007 yang lalu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: