Sunday, 8 September 2019

'Spin' Izza Kejutkan Atlet SUKMA Terengganu

SHARE
Nurul Izza Zaharuddin.
Oleh : Ariss Alias

KUALA NERUS, 8 September - Selepas tujuh tahun, akhirnya Nurul Izza Zaharuddin berjaya memecahkan 'badi' apabila menang buat kali pertama ke atas lawannya yang juga atlet SUKMA Terengganu, Aina Zayani Mohd Amri.

Pemain perseorangan ping-pong wanita Majlis Sukan Daerah (MSD) Setiu itu menang pada perlawanan keempat dengan kiraan 14-12,11-7, 3-11 dan 11-9 ke atas Aina Zayani yang mewakili MSD Besut di kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) 2019.

Kata Izza, keputusan yang diperolehi itu ternyata mengembirakannya setelah gagal dalam banyak percubaan.

"Saya memang tidak menjangkakan keputusan ini kerana saya tidak pernah menewaskan beliau sejak pertemuan kami ketika saya berumur 13 tahun hinggalah sekarang.

"Saya sangka kami dah kalah kerana pasukan regu wanita yang sepatutnya menang tewas pada perlawanan ketiga menjadikan mata ketika itu 2-1 dengan MSD Besut mengatasi MSD Setiu," ujarnya ketika dihubungi media.


Jelasnya, meskipun permainan sedikit terganggu akibat kecederaan, dia berjaya fokus hingga tamat perlawanan.

"Bahu saya tercedera ketika di pusingan separuh akhir, bagaimanapun saya bertahan dan merasa syukur kerana dapat menunaikan harapan pasukan dan penyokong yang tidak putus-putus memberikan sokongan, tambah beliau.

Majlis penyampaian pingat kategori wanita telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Setiu, Sophian Abu Bakar dengan diiringi Timbalan Presiden Persatuan Ping-Pong Terengganu, Dr. Balachandran H Krishnan.

Dalam pada itu, Sophian sangat berpuas hati dengan persembahan atlet ping pong Setiu dalam kejohanan tersebut.

"Saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana pasukan ini menyumbang satu emas kepada MSD Setiu.

"Terima kasih dan sekalung penghargaan kepada pengurus, jurulatih dan pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Mudah-mudahan pasukan ping-pong MSD Setiu akan terus maju dan digeruni di dalam dan luar Terengganu," tambah beliau.

Sophian (tengah) bergambar bersama pasukan Setiu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: