Tuesday, 24 September 2019

Skuad Kawalan Keselamatan Jaga Kampung

SHARE

Oleh: Aminji

KEMAMAN, 24 September - Biro Keselamatan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Pasir Minal telah mengambil inisiatif melancarkan program kawalan keselamatan kampung untuk mencegah kegiatan maksiat, kecurian, pecah rumah dan pelbagai jenayah yang semakin berleluasa pada hari ini.

Susulan dari aduan penduduk kampung, skuad kawalan keselamatan ini telah mula beroperasi sejak Julai lalu. Skuad rondaan ini melibatkan 25 orang petugas lengkap beruniform. Mereka akan melakukan rondaan secara bergilir-gilir ke seluruh kawasan kampung bermula dari jam 9.00 malam dan berakhir pada jam 1.00 pagi.

Ketua Biro Keselamatan Kampung Pasir Minal, Syed Yuslem Bin Syed A. Ghani menyeru golongan belia khususnya untuk sama-sama turun padang dan memberikan komitmen sepenuhnya demi meningkatkan keselamatan dan keharmonian kampung.


Menurut beliau yang ditemui pemberita baru-baru ini, Biro Keselamatan dengan kerjasama Biro Belia Majlis Keselamatan Komuniti Kampung (MPKK) Pasir Minal turut menyelitkan program  Usrah Pemuda yang diadakan setiap minggu bertempat di pos kawalan keselamatan sebelum operasi rondaan kampung dimulakan.

Ini adalah bertujuan sebagai pengisian rohani kepada belia-belia kampung disamping mengeratkan silaturrahim sesama mereka.

Usaha murni yang dilakukan oleh Biro Keselamatan ini telah mendapat pujian dan disambut baik oleh penduduk kampung apabila mereka turut sama bergotong-royong untuk membina pos kawalan keselamatan kampung yang diadakan 2 minggu lalu.


"Harapan saya semoga petugas-petugas kawalan keselamatan ini terus istiqomah dalam menggalas amanah untuk mencegah maksiat dan jenayah di kampung kita ini dan dapat dijadikan contoh ikutan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) lain," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: