Tuesday, 3 September 2019

Setiap DUN Disaran Tubuh PKK

SHARE

KUALA TERENGGANU, 3 September - Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) disaran menubuhkan Persatuan Kepolisan Komuniti (PKK) bagi membendung jenayah dan melahirkan masyarakat sejahtera.

Yang Dipertua DUN, Dato' Yahaya Ali berkata, setiap Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) digesa mengambil peluang untuk menubuhkan PKK di setiap kampung masing-masing.

"Persatuan Kepolisan Komuniti ini adalah sebuah persatuan yang disertai oleh pihak polis sendiri dengan masyarakat setempat.

"Sebab itu saya sebut dalam  pertemuan tadi alangkah baiknya MPKK ini dapat meneruskan (tindakan), sebab ia boleh banyak membantu pihak polis sendiri dari segi isu-isu gejala sosial yang berlaku," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Terengganu pada hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Terengganu DCP Datuk Aidi Ismail dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, pihak MPKK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh bekerjasama bagi meneruskan persatuan tersebut untuk jangka masa yang panjang.

"Saya ingat yang berlaku dulu di MPKK Durian Burung boleh dikatakan setakat yang saya tahulah isu rempit  macam tidak berbangkit sekarang ini," ujarnya.

Tambah beliau, lawatan kerja tersebut bertujuan membawa Ahli Yang Berhormat untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan isu -isu yang berbangkit dalam dewan secara 'first hand'.

"Sebab dalam dewan ia masih terhad jadi kadang - kadang ADUN kita nak tanya  banyak tak boleh.

"Jadi dalam peluang macam ini  dapat maklumat secara teratur  isu-isu yang berbangkit.

"Kita tak boleh hanya bercakap dalam dewan  melainkan ada perkara yang kita perlu perhalusi  untuk  dapat maklumat secara 'first hand'," tambahnya.

Kata Yahaya, melalui pihak MPKK dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedia bekerjasama dengan PDRM menangani masalah isu gejala sosial dan jenayah dalam masyarakat.

"Walaupun pihak PDRM mempunyai kekuatannya sendiri  tapi ada  ruang yang boleh kita bersama  berkait dengan masyarakat," tambahnya.

Sementara itu, PDRM berazam akan meningkat usaha  mengadakan  operasi bersepadu terutamanya di daerah Besut.

Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Aidi Ismail berkata, mengikut rekod ada sedikit penurunan jenayah di kawasan tersebut.

"Sekarang ini ada sedikit peningkatanlah  berbanding 2018 lebih kurang 12 peratus.

Alhamdulillah mengikut rekod  kita  apabila kita buat operasi ini  ada sedikit penurunan di besut (berkenaan) kes kecurian dan pecah rumah," katanya.

Justeru itu, beliau menambah, operasi tersebut akan dibuat di semua daerah agar jumlah kes jenayah akan berkurangan pada akhir tahun.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: