Sunday, 29 September 2019

Selepas Julang Piala Belia, Wira Terengganu Enggan Dabik Dada

SHARE
'Atiq watak penting Terengganu B-19 yang menjulang Piala Belia semalam.

Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 29 September – Selepas meranapkan impian PKNS FC yang ingin mempertahankan Piala Belia semalam, Wira Terengganu FC IV, Muhammad Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid enggan mendabik dada.

Katanya, walaupun menyumbang satu gol yang juga jaringan kemenangan untuk TFC IV, dia tetap mahu fokus bagi terus meningkatkan prestasi permainan.

“Saya gembira kerana dapat membantu Terengganu untuk menjadi juara pada malam ini, persiapan yang rapi diadakan sebelum perlawanan malam ini dengan mengenakan latihan intensif membantu saya untuk menjaringkan gol tadi.

“Walau bagaimanapun, saya tidak mahu berhenti setakat ini, saya mahu terus meningkatkan mutu permainan dan mencapai lebih kejayaan termasuk bersama skuad kebangsaan,” ujarnya semasa ditemui pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, Pemain Tengah Terengganu FC IV, Muhammad Azam Azmi Murad yang turut terpilih menyertai pemilihan Skuad Kebangsaan bagi menghadapi kelayakan AFC B-19 2020 pada 31 Oktober ini gembira dengan pencapaiannya bersama TFC IV.

Azam tekad untuk terus mencipta kejayaan bersama Terengganu dan Malaysia.
Ujarnya, dia yang gemar berada di bahagian tengah diletakkan untuk bermain pada posisi pertahanan kanan dalam pasukan Malaysia B-19.

“Apa pun posisi yang diberikan, saya akan buat yang terbaik dan mengikut arahan jurulatih.

 “Saya akan terus fokus untuk pemilihan skuad negara sejurus selepas ini dan pasukan Terengganu tetap menjadi keutamaan saya,” jelasnya.

Untuk rekod, dalam karier ‘Atiq dan Azam sebagai pemain kebangsaan, mereka telah menjaringkan satu gol apabila membantu Malaysia muncul naib juara dalam Kejohanan AFF B-18 di Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru ini.

Seorang lagi pemain Terengganu FC IV yang terpilih untuk menyertai latihan Skuad Kebangsaan bersama ‘Atiq dan Azam ialah Muhamad Rahadi Azli Rahalim yang beraksi di posisi penjaga gol.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: