Saturday, 7 September 2019

‘Sate Ikan Aya’ Inovasi Terbaharu Di Jabi

SHARE
Dr Azman merasmikan produk sate ikan aya.
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 7 September – Jabi cukup terkenal sebagai lubuk sate yang tersedia dengan pelbagai menu sama ada ayam, daging atau pun arnab sehingga menarik pengunjung dari seluruh negara.

Terbaharu, produk ‘Sate Ikan Aya’ dilancarkan hasil kajian Jabatan Perikanan dan inovasi sejak setahun lalu yang diubah daripada ikan tuna kepada ikan aya (tongkol).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, inovasi tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempelbagaikan industri hiliran daripada produk-produk mentah.

“Kita keluar sedikit daripada penggunaan ikan aya ini orang selalu buat nasi dagang, ikan singgang, rebus goreng dan sebagainya. Kali ini kita cuba pelbagaikannya.

“Alhamdulillah petang ini memberi peluang kepada para tetamu dan masyarakat sekitar untuk merasainya. Kita juga ada dapatkan komen daripada mereka dan saya yakin bahawa produk baru ini boleh pergi jauh,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sate Ikan Aya di Kedai Sate Suria, di sini petang kelmarin.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, produk itu akan diperkenalkan sempena Hari Peladang dan Penternak Negeri Terengganu yang  diadakan di Dataran Pekan Jabi pada 25 hingga 28 September akan datang.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengundang seluruh rakyat negeri Terengganu malah seluruh rakyat Pantai Timur yang berjiran untuk memenuhi Dataran Pekan Jabi untuk bersama mengambil manfaat daripada program tersebut.

“Mungkin selepas ini jabatan bersedia untuk mengadakan kursus dalam bentuk kursus Industri Kecil Sederhana (IKS) bagi kita menambah lagi bilangan pengusaha dan kemahiran dalam menghasilkan sate,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: