Wednesday, 25 September 2019

Sarkas Ekstrem Dibenarkan Bersyarat

SHARE

KUALA TERENGGANU, 25 September - Kerajaan negeri membenarkan penganjuran Sarkas Ekstrem oleh Great British Circus yang dijadualkan berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus bermula 5 hingga 28 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kebenaran tersebut diberikan susulan permohonan baharu oleh pihak penganjur pada Ogos lalu yang memenuhi syarat dan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Menurut Ariffin, sebelum ini surat permohonan oleh pihak penganjur untuk mengadakan program ‘Circus On Ais’ pada Jun lalu tidak diluluskan kerana bertentangan dengan prinsip patuh syariah yang dipegang kerajaan negeri berikutan ada percampuran antara lelaki dan perempuan ketika persembahan.

“Pihak penganjur telah membuat permohonan pada Jun lagi untuk mengadakan pertunjukan sarkas ini tetapi setelah kita bincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka dinasihatkan untuk mengubah beberapa perkara.

“Kemudian, mereka hantar balik surat permohonan pada Ogos lalu yang menyatakan mereka bersetuju mematuhi syarat yang kita tetapkan termasuk hanya membenarkan artis sarkas lelaki yang beraksi dan melakukan persembahan yang tidak keterlaluan,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Ariffin berkata, isu ini timbul apabila ada sesetengah pihak didakwa menyangkal prinsip patuh syariah yang diperkenalkan kerajaan negeri sedangkan setiap penganjuran program perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: