Wednesday, 18 September 2019

Rumah Warga Emas Dihempap Pokok Tumbang

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 18 September- Rumah warga emas, Jawal Jusoh, 61, mengalami kerosakan pada bahagian bumbung selepas dihempap pokok petai dalam kejadian di 581, Kampung Besol, malam kelmarin.

Ketika kejadian, Jawal bersama dua anaknya serta seorang cucu berusia 10 tahun sedang nyenyak tidur semasa hujan dan angin kuat melanda di kawasan berkenaan.

Katanya, sebaik tersedar dia merasa terkejut dan panik apabila pokok petai telah tumbang dan menghempap rumahnya.

"Sehingga mengakibatkan kerosakkan yang teruk pada struktur bumbung rumah," ujarnya kepada pemberita selepas diziarahi Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, semalam.


Sementara itu, Ghazali berkata, kejadian yang menimpa rumah Jawal merupakan rumah keenam berlaku di DUN berkenaan selama tiga hari berturut-turut.

"Yang melibatkan tiga buah rumah di Felda Jerangau, dua buah di Kuala Jengai dan yang akhir menimpa rumah Jawal ini.

"Alhamdulillah, kita mengucapkan terima kasih diatas tindakan pihak bomba yang datang memotong batang pokok yang menimpa rumah Jawal ini, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) Dungun telah turut datang meninjau bagi ditentukan jenis bantuan yang sewajarnya dan juga pihak MPKK Besol diatas kecaknaan segera,"ujarnya.

Walau bagaimanapun Ghazali menyatakan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku serta mengharapkan agar bencana sedemikian tidak berterusan agar penduduk berada didalam keadaan sejahtera.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: