Friday, 13 September 2019

Projek KTCC ‘Game Changer’ Pelancongan Terengganu - MB

SHARE
Ahmad Samsuri sedang mendengar taklimat perancangan projek pembangunan KTCC. 
KUALA TERENGGANU, 13 September - Projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) bakal menjadi 'game changer' (titik perubahan) kepada industri pelancongan di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya bersama beberapa pasukan yang merancang pembinaan projek tersebut akan memastikan pembangunan secara menyeluruh di muara utara (Seberang Takir) dan selatan (Kuala Terengganu).

Ujarnya, pembangunan di kawasan terbabit akan mengambil kira pelbagai perkara termasuk keupayaan setiap tempat untuk dibangunkan.

“Saya telah berbincang dan melihat secara menyeluruh dengan pihak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi tujuan pembangunan di sana dan kita juga mempunyai satu pelan utama yang boleh diikuti.

“Komponen yang ada di muara utara dan selatan ini sangat terbaik, insya-Allah ini akan menjadikan persekitaran yang terbaik untuk Terengganu dan menjadi tumpuan. Saya percaya ia ‘game changer’ untuk pelancongan bandar Kuala Terengganu,” jelasnya.

Pembangunan akan mengikut pelan utama yang telah siap digarap bersama beberapa pihak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi 'Walk Through Bengkel projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promenade' di Hotel Primula, di sini semalam.

Mengulas lanjut tentang projek itu, beliau menegaskan, perbincangan tentang kos masih belum diputuskan kerana konsep pembangunan adalah perkara asas yang perlu dimuktamadkan.

“Kita tengok proses, pelaksanaan, cara paling optima dan macam mana nak cari bajet dahulu.

“Kita akan mencari jalan penyelesaiannya. Bagi saya apa jua pembinaan kalau boleh kita nak buat mengikut jalan yang paling efisien dan tidak melibatkan kos yang besar termasuk tidak membebankan kerajaan negeri atau pusat,” tambah beliau.

KTCC meliputi kawasan seluas tujuh kilometer dari muara Sungai Terengganu dan akan dibangun dengan pelbagai kemudahan termasuk hotel, pusat beli-belah dan kemudahan pelayaran bertaraf antarabangsa.

Jambatan angkat atau ‘Drawbridge’ merupakan komponen utama projek pembangunan KTCC.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: