Sunday, 1 September 2019

Perkasakan Tulisan Jawi Dan Khat - Titah Sultan Terengganu

SHARE
Sultan Mizan Zainal Abidin.

KUALA TERENGGANU, 1 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya semua pihak harus terus menyemarakkan program-program bagi memperkasakan tulisan jawi dan penghayatan seni khat.

Baginda bertitah, tulisan serta seni berkenaan perlu terus diperkasakan dan ia tidak seharusnya dijadikan isu oleh pihak-pihak tertentu.

“Beta merasa khuatir dengan tindakan golongan-golongan tertentu yang cuba menghalang dan mengganggu pelaksanaan tulisan jawi daripada diamalkan dalam masyarakat Islam,” titah baginda bersempena sambutan Maal Hijrah 1441, di Stadium Negeri Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut berharap agar semua anggota masyarakat mementingkan keharmonian dan kestabilan dalam kehidupan.

Justeru, titah baginda, umat Islam mestilah berpandu kepada perkara tersebut sebelum melakukan apa-apa sikap, polisi dan tindakan.

“Ini termasuklah dalam hal peraturan perjalanan dakwah Islamiah iaitu dengan menetapkan tenaga pengajar yang mengajar di negeri ini mesti mempunyai tauliah dan kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.

“Tujuannya adalah untuk memastikan masyarakat Islam di Terengganu terpelihara daripada anasir-anasir yang menyeleweng dan sesat.

“Di samping ia dapat menjamin wujudnya kemampuan para pengajar dalam memberikan ilmu yang sebenar bersumberkan kitab-kitab yang muktabar,” titah baginda.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: