Tuesday, 3 September 2019

Program Anak Angkat Tingkat Kualiti Pemimpin Pelapis

SHARE
Shaharizukirnain bersama peserta program anak angkat.
Oleh : Makhtar Hashim

SETIU, 2 September – Program anak angkat yang melibatkan pelatih Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menjadi medan terbaik untuk meningkatkan kualiti pemimpin pelapis.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, melalui program berkenaan para peserta telah didedahkan dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Jelasnya, perkara itu bakal menguji dan memantapkan kebolehan berkomunikasi peserta sekali gus tahap keyakinan diri mereka akan meningkat.

"Ini medium terbaik untuk pelajar berinteraksi dengan penduduk di sekitar Kampung Bahagia, Kampung Bintang, Kampung Alor Serdang dan Kamoung Bukit Grebar yang berbeza pemikiran.

"Ia akan melahirkan pegawai-pegawai pentadbir yang mahir bermuamalat dengan masyarakat secara berhemah," ujar beliau dalam majlis perpisahan program tersebut semalam.

Turut hadir dalam majlis perpisahan itu ialah AJK Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bahagia, Kampung Bintang, Alor Serdang dan Bukit Grebar disamping pelatih dan keluarga angkat yang terlibat.

Mengulas lanjut, Shaharizukirnain turut menjelaskan, ilmu agama adalah bonus tambahan yang diperolehi pelajar dalam program itu.
Antara aktiviti yang berjaya dilaksanakan.
Katanya, ini kerana masyarakat kampung merupakan masyarakat yang sentiasa peka dengan hukum agama terutamanya dalam perkara muamalat.

"Batas-batas aurat dan agama semasa bersama keluarga angkat hendaklah dijaga sepanjang program berlangsung, agar usaha yang dilakukan mendapat redha Allah," tambah beliau.

Program anjuran MPKK Mukim Guntung itu bermula sejak 24 Ogos lalu dan berakhir semalam.

Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan dalam program berkenaan seperti
membina papan tanda dalam kawasan kampung, menghias Pasti dan Tadika, gotong royong, dan memberi sumbangan kepada asnaf zakat.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: