Tuesday, 24 September 2019

PPD Setiu Rintis Pertandingan 'War Cry' Di Terengganu

SHARE
Mohd Yasmin bersama juara sekolah menengah dan rendah.

Oleh : Ariss Alias

SETIU, 24 September - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu menjadi perintis bagi pertandingan 'War Cry' di Terengganu.

Pegawai PPD, Mohd Yasmin Yusof berkata, pertandingan tersebut adalah yang julung kali diadakan di negeri pantai timur itu.

"Pertandingan ini adalah sebagai 'spin off' atau penambahbaikan 'war cry' yang sedia ada agar dapat menjadi pencetus semangat kepada para pelajar, di mana sebelum ini ia hanya menjadi pengisian untuk menyambut pemantau dari pegawai-pegawai yang melawat ke sekolah.

"Saya melihat persediaan sekolah-sekolah yang terlibat amat hebat dan saya akan cadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) supaya adakan pertandingan di peringkat negeri," ujarnya ketika ditemui media semasa kejohanan.

Dalam kategori sekolah rendah, pasukan 'Reign of Sequeen' dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permaisuri meraih johan dengan mengenepikan 'Sehebat Fighter' yang mewakili SK Batu 29 di tempat kedua dan tempat ke-3 digondol SK Lembah Jaya.


Sementara itu, bagi kategori sekolah menengah, SM Sains Setiu (SAIS) menerusi pasukan 'Victorious Pride' muncul juara, manakala naib johan milik 'Isetian Warrior' dari Sekolah Menengah Imtiaz Setiu dan tempat ke-3 jatuh kepada 'Soaring Smegs' dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guntong.

Mengulas tentang kemenangan itu, Guru Pembimbing 'Victorious Pride', Zalizan Nordin berkata, beliau berbangga dengan pasukannya yang terdiri daripada 25 orang pelajar lelaki itu.

"Mereka melakukan latihan sendiri dalam tempoh satu minggu untuk mencapai kejayaan tersebut.

"Selepas ini, saya merancang untuk mereka mengajar pelajar-pelajar lain pula agar pihak sekolah dapat menghasilkan bakat-bakat baharu," tambah beliau.


Pertandingan 'War Cry' yang diadakan di Dewan Bijaksana, Perpustakaan Awam Daerah Setiu disertai oleh 12 pasukan sekolah rendah dan 14 buah sekolah menengah.

Johan membawa pulang wang tunai berjumlah RM300, sijil, piala pusingan dan hamper. Naib johan pula, RM150 beserta sijil dan hamper,  tempat ketiga menerima RM100, sijil dan hamper.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: