Wednesday, 4 September 2019

Pertanian Tingkat Pendapatan Penduduk Pulau Redang

SHARE


Oleh : Hidayah Azlin
Foto : Izzat Al Qushairi

SETIU, 4 September - Kerajaan Terengganu akan terus menggalakan aktiviti pertanian di semua kawasan termasuk Pulau Redang bagi menambahkan lagi sumber ekonomi penduduk di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri , Dr Azman Ibrahim berkata, aspek pertanian tidak akan dipinggirkan walaupun Pulau Redang merupakan destinasi pelancongan dan perikanan berprestasi tinggi di Malaysia.

"Kita tidak meminggirkan daripada aspek pertanian kerana ada kebun-kebun milik penduduk yang terbiar dan tanah kerajaan yang masih lagi kosong.

"Kita nampak ada satu peluang yang sangat luas untuk kita manfaatkan agro pelancongan memandangkan tanah di Pulau Redang sangat sesuai dan subur untuk durian Musang King.

"Kita akan galakan masyarakat untuk terlibat dalam industri pertanian secara kecil-kecilan (dahulu) supaya sekurang-kurangnya kos sara hidup mereka boleh dikurangkan sedikit dengan mereka ada barang-barang keperluan yang boleh dipetik di halaman rumah sendiri," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Dialog Bersama Nelayan Pulau Redang di Balai Raya Kampung Pulau Redang, semalam.

Menurut Dr Azman, golongan wanita turut akan diketengahkan dalam kursus-kursus yang berkait dengan industri asas tani seperti pembuatan satar ikan dan industri hiliran berasaskan perikanan.

"Insya-Allah ia akan diambil perjalanan oleh jabatan perikanan untuk mengadakan kursus-kursus jangka pendek bagi memberikan mereka ilmu yang ingin diceburi," tambah beliau.

Mengulas tentang masalah kemudahan di jeti, isu tanah, bekalan minyak diesel bersubsidi untuk nelayan dan permohonan pembinaan tukun rekreasi khusus untuk masyarakat Pulau Redang, beliau memaklumkan, perkara tersebut akan diberikan perhatian.

"Walaupun bukan semua perkara berada di bawah bidang kuasa kita untuk memberikan jawapan dan solusi tapi kita tidak akan tinggal semua perkara itu.


"Setiap perkara yang dikemukakan ada jalannya. Insya-Allah semua isu-isu dikemukakan ini akan diambil perhatian dan ada beberapa perkara yang akan diambil tindakan dalam masa terdekat," katanya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: