Thursday, 12 September 2019

Pertandingan Nasyid Serikan Hari Pertama Karnival Pantai Terengganu

SHARE
Antara kumpulan nasyid yang memeriahkan pertandingan. Foto oleh - Afif Fidee
KUALA TERENGGANU, 13 September - Lima kumpulan nasyid dari pelbagai sekolah menengah di negeri ini antara yang terawal mengisi aktiviti yang disenaraikan sempena Karnival Pantai Terengganu di Pantai Batu Buruk  selama lima hari, berakhir Isnin ini (16 September).

Kumpulan yang menyertai Pertandingan Nasyid itu adalah Al Iman Voice dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Brotherhood Voice dan  Al Fanwan masing-masing dari SMA Sheikh Abdul Malek, New Generation (Sekolah Menengah Kebangsaan Sura) dan Shoutil Zahabi dari Pondok Moden.



Aktiviti lain yang turut mewarnai hari pertama karnival itu termasuk demontrasi masakan tradisional Terengganu, anyaman dan kraftangan, mencanting batik, ukiran kayu, pembuatan keris, pisau dan parang, tenunan songket dan produk kraf tempurung kelapa.

Orang ramai turut  berpeluang melihat keunikan setiap daerah di Terengganu menerusi bangsal-bangsal yang disediakan misalnya bagi Kemaman terdapat demonstrasi ayam bawah perkop dan tarian sewang semoq beri.

Manakala untuk Besut (kuih tonyoh), Hulu Terengganu (silat kura-kura), Setiu (anyaman kercut dan lekar), Kuala Nerus (permainan tradisional ting ting bulu ayam), Marang (jahit pukat), Dungun (pembuatan keris) dan Kuala Terengganu (kuih lok lit).


Tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di lokasi itu mendapati orang ramai terutama pelajar sekolah mula memenuhi tapak  karnival seawal jam 9 pagi tadi. Rata-rata mereka tertarik dengan aktiviti yang disajikan.

Karnival Pantai Terengganu yang dahulunya dikenali sebagai Pesta Pantai, dijenamakan semula bermula tahun lalu dengan masih mengekalkan sebahagian besar pengisian acara yang pernah diadakan sebelum ini, namun ditambah baik dengan elemen patuh syariah.

Penganjuran karnival itu secara tidak langsung dapat memperkenal dan melestarikan seni, budaya dan warisan negeri yang menjadi identiti rakyat Terengganu kepada masyarakat luar.

Pada masa sama orang ramai turut berpeluang menyertai Pertandingan Wefie De' Pantai yang diadakan setiap hari dengan ganjaran hadiah bernilai RM100 untuk dua pemenang harian manakala bagi hadiah utama sebanyak RM350 untuk johan, tempat kedua (RM250) dan ketiga (RM150).

Peserta diwajibkan mengambil gambar secara 'wefie' di tapak karnival dan untuk penyertaan utama mereka perlu bergambar dengan plat 'Beautiful Terengganu Malaysia' dan 'Terengganuku Comey' yang boleh didapati di bangsal Tourism Terengganu.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: