Thursday, 5 September 2019

Penyelaras Turun Padang, Dengar Masalah Rakyat

SHARE

Oleh : Muhd Afiq Zohir

BESUT, 5 September - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh mengambil langkah 'turun padang' bagi mendengar sendiri apa-apa perkara yang menjadi kesusahan rakyat di dalam kawasannya.

Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, rakyat merupakan tunjang utama sesebuah pemerintahan yang wajar disantuni dan diberikan perhatian.

“Segala permasalah mempunyai jalan penyelesaian, rakyat perlu diutamakan bagi menjamin kelangsungan dan keharmonian persekitaran.

"Maklumat dan isu-isu semasa juga dapat diulaskan serta difahami oleh golongan masyarakat agar tidak menimbulkan pandangan negatif terhadap kerajaan," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Dialog Pejabat Penyelaras Jerteh bersama rakyat di Kampung Pulau Panjang, Jerteh, semalam.

Menurutnya, program tersebut amat penting untuk membuka mata pihak atasan terutamanya agar sentiasa peka terhadap segala jenis bentuk permasalahan.

Selain itu beliau menambah, hubungan silaturahim juga dapat dipupuk antara pihak pejabat dan rakyat agar membentuk sebuah negeri yang sejahtera.

Seramai  80 orang penduduk kampung hadir bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: