Tuesday, 3 September 2019

Penutupan Kilang Padi Melayu Tidak Berlaku Di Terengganu

SHARE
Azman Ibrahim.
SETIU, 3 September - Penutupan kilang padi milik orang Melayu akibat kekurangan sumber tidak berlaku di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menegaskan, penghasilan padi yang banyak di Besut dan Setiu menyebabkan kilang padi di negeri berkenaan mendapat sumber cukup untuk beroperasi.

Jelasnya, dua buah syarikat yang beroperasi iaitu Kilang Bernas di Bukit Kenak, Jerteh serta Kilang Mutiara Timur di Kerandang adalah milik orang melayu sepenuhnya.

"Berbeza dengan kilang padi di negeri lain seperti Kedah yang tidak cukup padi untuk dikilangkan, di Terengganu pula padi tidak cukup kilang terutama ketika kemuncak musim menuai.

"Lori yang bawa padi terpaksa beratur sehari semalam menunggu giliran di hadapan Kilang Bernas untuk buang padi.

"Malah padi dari Terengganu sebahagiannya hanya dikeringkan di Kilang Bernas sebelum dihantar untuk diproses di Kedah," ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan masalah kekurangan kilang untuk menampung padi di Terengganu akan diselesaikan secepat mungkin.

"Insya-Allah semua itu akan selesai apabila Kilang Padi milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Baruh Masin, Hulu Besut mula beroperasi dalam masa terdekat dengan kapasiti pemperosesan sebanyak 400 tan sehari," tegas beliau.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: