Wednesday, 4 September 2019

Pencerobohan Nelayan Vietnam : Apa Kesannya Lawatan PM?

SHARE
Bot nelayan asing dikesan di perairan Terengganu baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 4 September - Apa kesan lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vietnam berkait dengan hubungan dua hala antara kedua-dua anggota ASEAN khususnya mengenai sekatan kemasukan nelayan Vietnam ke Perairan Malaysia?

Tun Dr Mahathir berpendapat Pemilik Lesen Bot Laut Dalam atau diistilahkan sebagai nelayan tempatan sepatutnya tidak 'mengalibabakan' lesen bot mereka sebaliknya turun ke laut menangkap ikan sendiri.

Beliau membidas mereka terbabit tidak memanfaatkan lesen untuk menangkap ikan sebaliknya mereka tinggal di rumah membiarkan lesen mereka digunakan orang lain termasuk nelayan asing menangkap ikan di perairan negara.

Bidasan itu dibuat selepas selesai lawatan kerja tiga hari beliau ke Vietnam baru-baru ini.

Namun persoalan timbul kenapa berterusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak putus-putus menahan nelayan asing dengan bot dan hasil tangkapan berjumlah berjuta-juta ringgit

Yang terbaru di Kemaman dilaporkan, sebanyak dua buah bot nelayan asing yang dinaiki 17 nelayan termasuk tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu berserta nilai rampasan RM1.7 juta selepas menceroboh perairan negeri ini kelmarin.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli dilaporkan sebagai berkata, dua bot bersama 17 nelayan Vietnam berusia 20 hingga 53 tahun itu ditahan pukul 9.30 pagi dan 11.15 pagi Ahad lalu pada kedudukan 145.2 kilometer hingga 147.4 kilometer timur laut Tanjung Mat Amin, Kuala Kemaman.

Beliau memberitahu, selain dua bot yang ditahan itu, sebanyak 2,000 kilogram ikan campur, 2,000 kilogram ikan baja, diesel dengan anggaran 2,000 liter dan peralatan menangkap ikan turut dirampas.

"Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.7 juta, bot serta hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman pukul 2.35 petang semalam. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen dan kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

“Selain itu mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dan juga Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah." katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.

Muhammad Suffi berkata, Op Naga Barat Siri 1/2019 yang bermula pada 26 April 2019 hingga sekarang telah berjaya membuat 1,637 pemeriksaan dan 96 tangkapan yang merangkumi semua pemeriksaan dan tangkapan pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi itu.

"Jika sabit kesalahan, tekong berkenaan boleh didenda RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun dan awak-awak boleh didenda RM100,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan dilucutkan hak ke atas vesel berkenaan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kesemua nelayan asing itu dikenakan tahanan reman selama 14 hari berakhir 17 September ini.

Muhammad Suffi menarik perhatian, sehingga 31 Ogos lalu, Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia berjaya memungut sebanyak RM8.8 juta hasil daripada denda yang diperintahkan oleh mahkamah dan sebanyak 25 buah bot daripada 96 kes dilucut hak.

Jelasnya lagi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing.

Difahamkan antara sebab kenapa nelayan Vietnam sentiasa menceroboh perairan Malaysia ialah kerana Kerajaan negara itu sendiri menggalakkan rakyatnya pergi menangkap ikan di luar laut negara mereka.

Dikatakan, perairan mereka tidak terdapat banyak ikan seperti di perairan Malaysia.

Difahamkan juga di Vietnam, sebuah bot laut dalam dikeluarkan sebanyak sebuah setiap hari. Ini menunjukkan betapa seriusnya golongan nelayan asing berusaha menangkap ikan ke merata tempat di seluruh dunia termasuk di perairan Laut China Selatan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: