Thursday, 19 September 2019

Pasar Payang 2 Akan Ditambah Baik

SHARE
Ahmad Shah menyapa salah seorang peniaga.


Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 19 September- Pasar Kedai Payang 2 akan ditambah baik memandangkan terdapat beberapa kekurangan yang memberi jejas terhadap keselesaan kepada peniaga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, terdapat beberapa aduan dari peniaga-peniaga berkaitan keperluan yang perlu ditambah dan pihaknya akan bertindak segera.

“Ada beberapa perkara yang perlu dibaiki antaranya keluasan tapak niaga, susun atur dan kemudahan elektrik. Begitu juga terdapat dinding yang membatasi pandangan pengunjung di bahagian penjual ikan, daging dan ayam.

“Saya akan pastikan apa yang boleh kita perbaiki, kita akan baiki, rasanya perkara ini bukan suatu yang sukar, " katanya ketika ditemui pemberita dalam lawatan ke lokasi berkenaan, hari ini.
Sesi perbincangan turut diadakan dalam kunjungan itu.

Turut bersama-sama dalam lawatan itu ialah, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Mustaffa Salim serta Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu (PPPKMKT), Haji Zakaria.

Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata lagi, pihaknya turut mengharapkan kerjasama peniaga-peniaga untuk menjaga imej Pasar Kedai Payang 2 dan kerajaan negeri.

“Pasar Kedai Payang 2 yang bersifat sementara ini dapat menjadi tempat perniagaan yang selesa dikunjungi oleh orang para pengunjung dan kita dapati setelah Pasar Kedai Payang 2 ini dibuka, ia nampak ‘meletup’ dengan sambutan luar jangkaan.

“Semoga peniaga-peniaga sentiasa berkerjasama, mematuhi peraturan dan paling utama menjaga kebersihan kerana ia menjadi imej kerajaan negeri," nasihatnya.
Beliau mengingatkan para peniaga supaya melayan pengunjung dengan baik supaya mereka yang datang akan membawa cerita yang baik tentang lokasi tumpuan itu.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: